BANDAR RAYA MEXICO: Seorang datuk bandar di Mexico didakwa memalsukan penculikannya sendiri bagi menggelapkan dana kerajaan bernilai AS$2 juta (RM8.28 juta) yang kononnya dibayar sebagai wang tebusan.
Presiden Perbandaran Tenancingo, Nancy Napoles bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan bermotifkan politik.
Napoles merupakan anggota parti pemerintah Morena dipimpin Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum yang menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai antara agenda utama pentadbirannya.
Pejabat pendakwa raya memaklumkan, Napoles dipanggil untuk memberi keterangan pada 9 Julai berhubung dakwaan mereka-reka insiden penculikan.
Setakat ini, tiada waran tangkap dikeluarkan terhadapnya, namun suami dan abang iparnya kini diburu pihak berkuasa.
Menurut pihak pendakwa raya, siasatan berdasarkan keterangan tiga individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam penculikan itu mendakwa Napoles dipaksa keluar dari kenderaannya oleh lelaki bersenjata.
Bagaimanapun, pihak berkuasa percaya kejadian berkenaan sengaja direka sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menggelapkan dana kerajaan dengan menyamarkannya sebagai bayaran tebusan.
Pihak berkuasa percaya semasa berada dalam tahanan, Napoles kononnya diugut akan dibunuh bersama ahli keluarganya jika tuntutan wang tebusan sebanyak 40 juta peso (RM10.8 juta) tidak dipenuhi.
Menurut siasatan, penculik terbabit didakwa mengarahkan Napoles supaya menggunakan dana kerajaan tempatan untuk membayar wang tebusan itu jika keluarganya gagal menyediakan jumlah berkenaan.
Bagaimanapun, rancangan itu terbongkar apabila seorang saksi yang melihat Napoles dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.
Tindakan pantas pihak berkuasa melancarkan operasi pencarian menyebabkan misi yang didakwa dirancang itu gagal diteruskan.– AFP










