NEW DELHI: India akan memilih Parlimen baharu dalam tujuh fasa antara 19 April sehingga awal Jun akan datang, kata pihak berkuasa pilihan raya negara itu.
Ia merupakan pilihan raya terbesar di dunia dengan hampir satu bilion rakyat layak mengundi.
Pilihan raya itu menampilkan kembali orang kuat dua penggal Perdana Menteri, Narendra Modi dan tinjauan pilihan raya mencadangkan kemenangan selesa bagi parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi.
Kemenangan ini akan menjadikan Modi, 73, hanya perdana menteri kedua selepas Jawaharlal Nehru, wira kemerdekaan India dan perdana menteri pertamanya, memenangi penggal ketiga berturut-turut.
Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya India, Rajiv Kumar memberitahu pemberita, rakyat India akan mengulangi ikrar kepada demokrasi pilihan raya.
Menurut Kumar, fasa yang terakhir daripada tujuh fasa pengundian akan diadakan pada 1 Jun dan undian akan dikira pada 4 Jun akan datang.
“Kami bercakap kepada anda pada saat yang berharga apabila kami sebagai sebuah negara bersedia untuk mengulangi ikrar kami kepada demokrasi pilihan raya apabila orang India akan bersama-sama menyatakan kehendak mereka sekali lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Modi berkata, perayaan demokrasi terbesar dimulakan dan partinya akan berkempen mengikut rekod prestasi tadbir urus dan perkhidmatan awam yang baik.
“Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa kita akan mendapat kasih sayang dan restu penuh daripada lebih 960 juta pengundi untuk kali ketiga berturut-turut, katanya dalam satu siri catatan di aplikasi X.










