KUALA NERUS: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.
Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pelantikan Mohd. Zuki telah mendapat perkenan daripada Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Beliau berkata, Mohd Zuki adalah anak jati Terengganu yang memiliki ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.
“Pelantikan Tan Sri Mohd. Zuki Ali sebagai Pro Canselor UMT berkuat kuasa dari 1 Mac 2024 hingga 28 Feb 2027.
“Selain Mohd. Zuki, UMT turut mempunyai seorang lagi Pro Canselor iaitu Tan Sri Samsudin Osman,” katanya di sini, hari ni.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan itu diharap dapat melonjakkan lagi citra UMT sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus marin yang terunggul dalam negara dan di peringkat global. – UTUSAN











