UMT raih pengiktirafan 6-bintang Talentbank

UMT raih pengiktirafan 6-bintang Talentbank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mengukir pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai antara institusi peneraju kebolehpasaran graduan negara menerusi Talentbank Graduate Employability Index 2026, satu penanda aras nasional yang dinilai secara langsung oleh majikan industri di Malaysia.

Pengiktirafan tersebut membawa makna besar apabila ia mencerminkan tahap keyakinan tinggi majikan terhadap kualiti graduan UMT, khususnya dari segi kesediaan memasuki alam pekerjaan, kecekapan profesional serta prestasi kerja sebenar di lapangan.

Lebih penting, penilaian ini turut mengambil kira kecenderungan majikan untuk terus memilih graduan daripada universiti yang sama, sekali gus menjadi indikator kukuh terhadap kebolehpercayaan dan nilai tambah graduan UMT di pasaran kerja.

Dalam majlis berkenaan, UMT turut mencatat kejayaan signifikan apabila dua kategori bidang utama universiti iaitu Agriculture dan Analytics telah dianugerahkan pengiktirafan berprestij Talentbank 6-Star Employers’ Choice Award.

Kedua-dua bidang berkenaan berada dalam kelompok terbaik negara berdasarkan penilaian lebih 1200 majikan daripada pelbagai sektor industri, termasuk syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemain industri utama.

UMT terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan melalui pendekatan strategik yang digerakkan secara berfokus menerusi Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM).

Dalam majlis tersebut, UMT telah diwakili oleh Pengarah UMT-GEM, Prof. Madya Dr. Nor Fazliyana Mohtar, bagi menerima pengiktirafan mewakili Naib Canselor UMT, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa hubungan industri serta mempertingkat daya saing graduan.

Naib Canselor UMT Prof. Datuk Zamri Ibrahim, dalam satu kenyataan berkata bahawa pencapaian tersebut merupakan hasil usaha kolektif seluruh ekosistem universiti dalam memastikan graduan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kebolehan sebenar yang selari dengan keperluan industri semasa.

Menurut beliau, pendekatan yang menggabungkan kecemerlangan ilmu, kemahiran praktikal serta nilai profesionalisme telah menjadi teras dalam melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman, kolaborasi erat bersama industri serta penekanan terhadap pembangunan kemahiran masa hadapan yang diterapkan oleh UMT berada pada landasan yang tepat,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, UMT akan terus memperkukuh sinergi bersama industri melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan, adaptif dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.

Kerjasama antara UMT dan Talentbank ini turut membuka ruang jaringan strategik yang lebih luas, menghimpunkan pelbagai organisasi terkemuka dalam satu ekosistem kerjasama yang dinamik.

Ini bukan sahaja memperluas peluang penempatan kerjaya graduan, malah memperkukuh pembangunan bakat secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Pencapaian tersebut ini secara tidak langsung mencerminkan keberkesanan pendekatan holistik universiti dalam membangunkan kebolehpasaran graduan melalui integrasi pembelajaran berasaskan pengalaman, kolaborasi strategik industri serta pengukuhan nilai keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Usaha tersebut juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya Lonjakan 1 yang menekankan pembangunan pembelajar berpaksikan kemanusiaan, berciri keusahawanan dan adaptif.

Kejayaan tersebut dilihat sebagai pemangkin kepada UMT untuk terus mempergiat usaha dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan dan keusahawanan pelajar secara lebih agresif dan berstrategi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN