FSPA UMT perkasa budaya kerja menerusi Sesi Lestari di Tasik Kenyir

FSPA UMT perkasa budaya kerja menerusi Sesi Lestari di Tasik Kenyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuh budaya kerja cemerlang serta kesejahteraan warga kerjanya menerusi penganjuran Sesi Lestari Pengurusan dan Staf Sokongan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Program sehari yang berlangsung di Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT Tasik Kenyir itu melibatkan seramai 40 peserta terdiri daripada pengurusan profesional dan staf sokongan sebagai usaha pembangunan modal insan selari dengan aspirasi universiti.

Menurut penganjur program, Dr. Mohd Azman Yussoff, sesi berkenaan bertujuan memperkukuh semangat kerja berpasukan, meningkatkan komunikasi berkesan serta memupuk nilai kebersamaan dalam suasana lebih santai dan kondusif di luar persekitaran pejabat.

“Penganjuran program ini bukan sahaja memberi ruang kepada staf untuk berinteraksi secara lebih terbuka, malah membantu meningkatkan motivasi serta kesejahteraan mental dan emosi warga kerja,” katanya.

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi perkongsian pengurusan, aktiviti interaktif berkumpulan serta aktiviti pembinaan pasukan di Pusat Penyelidikan dan Lapangan UMT Tasik Kenyir dan Pulau Herba.

Selain itu, Dekan FSPA, Prof. Dr. Najiah Musa berkata, pendekatan pembangunan staf secara holistik penting dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang di fakulti berkenaan.

“FSPA sentiasa komited untuk membina ekosistem kerja yang harmoni, produktif dan berdaya tahan. Program seperti Sesi Lestari ini bukan sahaja mengeratkan hubungan warga kerja, tetapi turut menjadi platform penting dalam memperkasa nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan kelestarian organisasi,” katanya.

Dalam pada itu, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dilihat berupaya memperkukuh kefahaman peserta terhadap peranan serta tanggungjawab masing-masing, di samping meningkatkan tahap kerjasama dalam kalangan warga organisasi.

Pemilihan Tasik Kenyir sebagai lokasi program turut selari dengan konsep kelestarian yang diketengahkan, selain menyediakan persekitaran semula jadi yang mampu menyegarkan minda serta meningkatkan produktiviti peserta.

Penganjuran program ini diharap dapat menyokong agenda pembangunan modal insan UMT secara menyeluruh serta memperkukuh keupayaan fakulti dalam mendepani cabaran masa hadapan dan meningkatkan kecemerlangan organisasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN