Program Kota Baca 2026 yang dianjurkan Perbadanan Kota Buku (PKB) di Dataran Merdeka baru-baru ini sangat mengujakan dengan kehadiran golongan muda.

Program yang melabuhkan tirai dengan pengiktirafan ASEAN Records dan Asia Records menerusi Acara Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara mencatat penyertaan 2,890 peserta di Dataran Merdeka.
Program anjuran Kementerian Pendidikan melalui PKB itu diadakan sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia dari 23 hingga 26 April lalu.

Pelajar tekun mentelaah buku dalam sesi Jom Baca Bersama selama 10 minit yang diadakan sempena pelancaran Program Kota Baca 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, Dataran Merdeka baru-baru ini.
Acara itu dilaksanakan secara hibrid dengan pengisian dalam talian dan fizikal bagi membawa buku serta budaya membaca lebih dekat kepada masyarakat.
Penganjurannya di Dataran Merdeka memperlihatkan pendekatan baharu apabila buku dibawa keluar daripada ruang institusi kepada ruang awam yang lebih terbuka dan mudah diakses. Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk kelah buku, jualan buku, Book Capital, TikTok Shop, Buka Buku oleh kereta api Sarong, Larian Karakter Buku 5 kilometer (km) dan Pasport Kota Baca.

Pengisian sastera dan budaya turut diketengahkan menerusi teater Memperkasa Budaya Membaca, Malam Baca Puisi PENA “Gemuruh Puisi”, pertandingan bercerita karya agung serta sesi bersama penulis dan Sasterawan Negara.
Program itu turut menampilkan sesi bersajak bersama artis Aisha Retno, bual bicara kecerdasan buatan (AI), eksplorasi pantun, Semarak Jawi serta aktiviti #MalaysiaMembaca oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.
Bagi pengunjung keluarga, penganjur menyediakan aktiviti santai seperti sesi bersama Mrs. Baca Malaysia, Didi & Friends, rakaman polaroid Bingkai Harapan Dunia, Kafe Kopi dan Buku serta trak makanan.
Penganjuran Kota Baca 2026 turut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian khususnya agensi di bawah Kementerian Pendidikan, persatuan industri buku serta rakan strategik termasuk TikTok Shop, Pos Malaysia dan Delyva.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar berkata, kejayaan program itu dilihat bukan hanya pada rekod penyertaan semata-mata, tetapi pada usaha menjadikan membaca sebagai aktiviti sosial yang lebih dekat, santai dan inklusif kepada masyarakat.

“Seperti yang saya nyatakan dalam pelbagai penyataan saya kepada media sebelum ini, Kota Baca menampilkan ekosistem pembacaan yang hidup dan inklusif, daripada sesi bacaan pelajar, aktiviti keluarga, hingga perbincangan tentang AI dan masa depan ilmu.

“Ini menunjukkan bahawa potensi pembaca masa hadapan tidak terhad kepada mereka yang sudah membaca, tetapi juga mereka yang sedang “menemui” buku dalam konteks baharu.
“Di sinilah nilai sebenar program ini, mencetus minat, bukan sekadar mengukur kebiasaan sedia ada.
“Namun demikian, kejayaan sebenar hanya akan teruji melalui kesinambungan. Kota Baca perlu dilihat sebagai model perintis yang boleh diulang dan diskalakan ke seluruh negara,“ ujarnya.
Kata Adibah, jika langkah pertama itu berjaya membuka ruang dan imaginasi baharu terhadap pembacaan, maka langkah seterusnya adalah memperkukuh ekosistem melalui dasar, akses, dan intervensi berterusan bagi memastikan aspirasi membina sebuah negara yang membaca dapat direalisasikan secara mampan.-UTUSAN









