Gaya hidup sihat berteraskan alam

Gaya hidup sihat berteraskan alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam jurulatih Ekowellness, kesejahteraan holistik dan ekoterapi, saya melihat hubungan manusia dengan alam bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi satu keperluan asas untuk kesihatan minda dan tubuh terutamanya pelajar masa kini.

Amalan gaya hidup sihat yang mengintegrasikan alam semula jadi sebenarnya disokong oleh bukti saintifik dan pengalaman klinikal.

Pertama, dari sudut kesihatan minda.

Aktiviti luar rumah memberi kesan yang sangat signifikan dalam menenangkan sistem saraf. Bunyi-bunyi alam seperti aliran sungai, deruan ombak, titisan hujan, bunyi kayu terbakar dan kicauan burung bertindak sebagai “terapi semula jadi” yang membantu menurunkan tahap stres dan tekanan emosi. Rangsangan bunyi ini secara langsung mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik, iaitu sistem yang bertanggungjawab untuk keadaan tenang dan relaks.

Interaksi dengan alam, khususnya dengan pokok—sama ada melalui berjalan di taman, berada di hutan, atau sekadar menyentuh dan memeluk pokok yang terbukti secara saintifik dapat mengurangkan hormon kortisol dalam badan.

Apabila kortisol menurun, minda menjadi lebih stabil, emosi lebih terkawal dan otak dapat berehat daripada keletihan kognitif akibat pendedahan berterusan kepada gajet dan skrin digital.

Keadaan ini secara langsung meningkatkan fokus, kejelasan pemikiran dan daya ingatan, terutamanya dalam kalangan pelajar dan individu yang bekerja dalam persekitaran bertekanan tinggi.

Selain itu, pendedahan kepada udara segar dan pemandangan alam yang indah merangsang pengeluaran hormon endorfin, iaitu hormon yang berkait rapat dengan rasa gembira dan motivasi.

Inilah sebabnya mengapa individu yang kerap melakukan aktiviti luar rumah lazimnya mempunyai mood yang lebih positif dan tahap tenaga yang lebih tinggi.

Aktiviti luar seperti berbasikal, mendaki bukit, berjoging, mandi sungai atau berkhemah bukan sahaja menyeronokkan, malah sangat berkesan dalam menguatkan otot, meningkatkan fungsi jantung dan memperbaiki stamina tubuh.

Aktiviti ini membantu mengekalkan berat badan ideal serta mengurangkan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Dari sudut imunologi, berada di persekitaran semula jadi—terutamanya kawasan hutan—memberi pendedahan kepada sebatian organik semula jadi yang dihasilkan oleh tumbuhan.

Bahan ini terbukti membantu meningkatkan sistem imun badan, menjadikan tubuh lebih berdaya tahan terhadap jangkitan dan penyakit. Tambahan pula, pendedahan cahaya matahari yang mencukupi membolehkan tubuh menyerap vitamin D secara semula jadi, yang penting untuk kesihatan tulang, gigi dan sistem imun secara keseluruhan.

Kesimpulannya, mengamalkan gaya hidup sihat berasaskan alam bukan satu trend sementara, tetapi satu pendekatan berimpak tinggi untuk membina kesejahteraan menyeluruh—minda yang damai, emosi yang stabil dan tubuh yang sihat.

Alam semula jadi bukan sekadar latar belakang kehidupan kita, sebaliknya ia adalah rakan terapi terbaik yang telah dicipta untuk manusia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN