KEPUTUSAN peperiksaan Semester 1 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2026 prauniversiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat mencipta sejarah apabila merekodkan pencapaian terbaik sejak penubuhannya.
Penolong Kanan Tingkatan Enam, Ahmad Rusydi Danial Cheng Abdullah berkata, pencapaian cemerlang itu merupakan hasil komitmen tinggi seluruh warga sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik terus diperkasa.
Pengumuman dan penyerahan rasmi slip peperiksaan itu diadakan baru-baru ini, di bilik seminar sekolah berkenaan oleh Pengetua Azis Salleh, sekali gus menjadi detik membanggakan buat seluruh warga pendidik dan pelajar.
Secara keseluruhan, seramai 66 calon menduduki peperiksaan tersebut dengan mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sebanyak 2.62, manakala peratus kelulusan pula mencapai 97.40 peratus.
Lebih membanggakan, seramai 21 pelajar berjaya memperoleh PNGK 3.00 ke atas, manakala tujuh pelajar mencatatkan PNGK 3.50 ke atas, sekali gus memperlihatkan peningkatan ketara dalam prestasi akademik pelajar prauniversiti sekolah itu.
Pelajar terbaik, Nurastina Zalifah Mohd. Sabri, mencuri tumpuan apabila meraih PNGK 3.92, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah pencapaian Semester 1 STPM di sekolah berkenaan. –UTUSAN









