PUTRAJAYA: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari menuduh Bersatu Selangor dikuasai kumpulan kartel adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menafikan wujud kartel dalam partinya malah, Bersatu bergerak atas dasar perlembagaan dan peraturan.
Beliau berkata, dakwaan dibuat oleh Abdul Rashid itu seolah-olah mahu menutup kesalahan kerana menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Tiada kartel…parti ini bergerak atas dasar perlembagaan dan ada peraturan. Abdul Rashid jadi Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri, kalau kartel (wujud kartel), berkartel dengan dia lah.
“Jangan cari sebab apabila lakukan kesilapan besar dituduh parti buat itu. Ia satu perbuatan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan pindaan Perlembagaan Bersatu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), hari ini.
Sebelum ini, Abdul Rashid mendakwa Bersatu Selangor kini dikuasai ‘kumpulan kartel’ yang dipimpin oleh individu ‘baru sehari dua’ sertai parti tersebut.
Menurutnya, ia antara punca mengapa beliau memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor walaupun masih ahli parti tersebut.
Abdul Rashid sebelum ini Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor yang dipertanggungjawabkan mengenal pasti calon parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Abdul Rashid memutuskan untuk menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.
Jelasnya, keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan selepas meneliti Titah Ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran Kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN










