Kapal bawa 200 tan makanan dari Sepanyol ke Gaza

Kapal bawa 200 tan makanan dari Sepanyol ke Gaza

JOSE Andres menyiarkan gambar yang menunjukkan pekerja membina jeti di pantai Gaza untuk menerima bantuan makanan. -Gambar ihsan World Central Kitchen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARNACA: Sebuah kapal dari Sepanyol yang menunda tongkang sarat dengan 200 tan bekalan makanan yang sangat diperlukan untuk rakyat Palestin di Gaza akhirnya berlayar dari Cyprus.

Kapal yang bernama The Open Arms meninggalkan Larnaca, sebuah bandar pelabuhan di Cyprus sebelum pukul 9 pagi (waktu tempatan) dan kini dalam perjalanan yang boleh mengambil masa selama dua hari.

Ia merupakan kapal penyelamat milik badan amal Sepanyol dengan nama yang sama sedang menunda tongkang berisi beras, tepung, kekacang, sayur-sayuran dalam tin dan protein dalam tin.

Gaza tidak mempunyai pelabuhan yang berfungsi, jadi, badan amal Amerika Syarikat (AS) di sebalik misi itu, World Central Kitchen (WCK), sedang membina jeti untuk menerima bantuan berkenaan.

WCK mengumumkan bahawa penghantaran bantuan maritim pertamanya sedang dalam perjalanan ke Gaza selepas persiapan berminggu-minggu.

Semasa The Open Arms berada di laut, rakyat Palestin yang bekerja untuk WCK akan terus membina jeti di lokasi yang tidak didedahkan di pantai Gaza yang akan digunakan untuk memunggah bantuan.

Mereka menggunakan sisa runtuhan dari bangunan dan infrastruktur yang musnah sejak lima bulan lalu untuk membina jeti berkenaan.

Jika jeti siap tepat pada masanya, WCK berkata, ia akan memuatkan makanan ke lori dan mengagihkannya kepada masyarakat yang memerlukan.

Badan amal itu mempunyai rangkaian kira-kira 60 dapur di seluruh Gaza dan menyediakan lebih daripada 35 juta makanan kepada anggaran 1.7 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di sana.

Pengasas WCK, chef selebriti Sepanyol, José Andrés, menulis di aplikasi X, semua orang fikir misi ini adalah mustahil, namun masih banyak perkara boleh berlaku serentak.

“Kami perlu menyelesaikan jeti yang membolehkan kami memuat turun makanan. Kegagalan bukan pilihan. Rakyat di utara Gaza perlu diberi makan,” tegasnya.

Kelmarin, Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, mereka berjaya mendapatkan konvoi bantuan ke utara Gaza buat kali pertama dalam tempoh tiga minggu.

Makanan yang mencukupi untuk 25,000 orang dihantar ke Gaza City, tambah agensi itu, sebelum menyatakan pihaknya memerlukan penghantaran setiap hari.

Jika The Open Arms berjaya berlabuh di Gaza, maka, kapal lain akan menyusul sebagai sebahagian daripada usaha maritim Eropah dan Emiriah untuk mendapatkan lebih banyak bantuan ke Gaza.

Israel berkata, ia mengalu-alukan penciptaan koridor maritim dan ia memudahkan pemindahan bantuan ke Gaza sementara tenteranya terus memerangi Hamas.

PBB berkata sekurang-kurangnya 576,000 orang di Gaza, satu perempat daripada penduduk, berada selangkah lagi daripada kebuluran.

Ia memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk dianggarkan 300,000 orang terpencil di utara wilayah itu, yang mana agensi PBB telah bergelut untuk mengaksesnya selama beberapa bulan berikutan permusuhan yang berterusan dan pelanggaran undang-undang dan ketenteraman.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN