KAHERAH: Pengantara Hamas dan Mesir memberitahu mereka akan meneruskan rundingan di Kaherah untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza walaupun Israel memutuskan untuk tidak menghantar delegasi mereka.
Rundingan gencatan senjata yang bermula pada Ahad lalu dianggap sebagai halangan terakhir perjalanan untuk mendapatkan gencatan senjata dalam perang selama lima bulan atau tepat pada bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 10 atau 11 Mac ini.
Israel bagaimanapun enggan mengulas secara terbuka mengenai rundingan di Kaherah.
TIADA NAMA SENARAI TEBUSAN
Satu sumber memberitahu Reuters bahawa Israel menjauhkan diri kerana Hamas yang didakwa tidak akan memberikan senarai nama tebusan masih hidup yang diculik pada 7 Oktober lalu.
Malah, pejuang Palestin yang mengawal Gaza berkata, mereka akan memberikan maklumat itu apabila Israel bersetuju dengan syarat.
“Rundingan di Kaherah diteruskan untuk hari kedua, tidak kira sama ada delegasi Israel hadir atau tidak di Mesir,” kata seorang pegawai Hamas kepada Reuters.
Dua sumber keselamatan Mesir berkata, orang tengah yang berhubung dengan Israel membenarkan rundingan diteruskan walaupun mereka tidak hadir.
HASIL RUNDINGAN TIDAK PASTI
Sumber Palestin yang rapat dengan rundingan itu berkata, rundingan berkenaan kekal berada tahap tidak pasti dengan Israel berpegang kepada tuntutannya untuk hanya gencatan senjata sementara bagi membebaskan tebusan dan Hamas pula meminta jaminan bahawa perang perlu berakhir.
Di Washington, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, gencatan senjata sementara adalah penting untuk perjanjian tebusan dan menggesa Hamas untuk menerima syarat yang ditawarkan sekarang.
Ketegangan antara Washington dan kerajaan sayap kanan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuncak apabila Naib Presiden AS, Kamala Harris kelmarin bertemu Ahli Kabinet Perang Israel, Benny Gantz, saingan lama politik Netanyahu.
Netanyahu tidak dijemput ke Washington sejak setahun lalu.
Selepas pertemuan Harris dengan Gantz, pentadbiran AS berkata dalam satu kenyataan bahawa Harris membincangkan kepentingan untuk mencapai perjanjian tebusan dan menyatakan kebimbangannya yang mendalam tentang keadaan kemanusiaan di Gaza.
AS MASIH BERHARAP GENCATAN SENJATA
Jurucakap Keselamatan Negara White House, John Kirby memberitahu pemberita bahawa AS masih berharap untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata untuk tebusan menjelang permulaan Ramadan, tetapi Hamas masih belum bersetuju.
“Israel memikul tanggungjawab di sini untuk melakukan lebih banyak lagi,” kata Kirby.
Cadangan yang dibincangkan membayangkan gencatan senjata kira-kira 40 hari di mana pejuang Hamas akan membebaskan sekitar 40 daripada lebih 100 tebusan yang masih mereka tahan sebagai balasan kepada kira-kira 400 tahanan dari penjara Israel.
Israel akan berundur dari beberapa kawasan dan lebih banyak bantuan akan dibenarkan masuk ke Gaza serta penduduk akan dibenarkan pulang.
Tetapi perjanjian itu nampaknya tidak menepati secara langsung permintaan Hamas untuk jalan pengakhiran perang yang kekal.
Ia juga tidak menyelesaikan nasib lebih separuh tebusan yang tinggal (lelaki Israel dikecualikan daripada perjanjian) yang meliputi wanita, kanak-kanak, orang tua dan yang tercedera.
Perang meletus selepas pejuang Hamas menyerbu Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh 1,200 orang dan menculik 253 tebusan, menurut pengiraan Israel.
Kelmarin, sepasukan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa terdapat alasan munasabah untuk mempercayai keganasan seksual, termasuk jenayah seksual yang berlaku di beberapa lokasi sewaktu serangan itu berlaku.
“Pasukan PBB menemui maklumat yang jelas dan meyakinkan bahawa beberapa tebusan yang dibawa ke Gaza dikenakan pelbagai bentuk keganasan seksual berkaitan konflik dan mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa keganasan itu mungkin berterusan,” kata laporan itu.










