BAITULMUQADDIS: Tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan di sekitar hospital terbesar di Gaza, Al-Shifa dengan saksi melaporkan berlaku serangan udara di kawasan kejiranan.
Kata kenyataan tentera, pihaknya sedang menjalankan operasi tepat di kawasan hospital Al-Shifa.
“Operasi itu berdasarkan maklumat risikan yang menunjukkan penggunaan hospital oleh pengganas kanan Hamas,” katanya.
Saksi di Bandar Gaza turut memberitahu AFP mereka melihat kereta kebal mengelilingi tapak hospital.
Tentera Israel juga melakukan operasi ketenteraan pada November lalu di Al-Shifa yang mencetuskan bantahan antarabangsa.
Puluhan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang mencari perlindungan di kompleks itu, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.
Israel berulang kali menuduh Hamas menjalankan operasi ketenteraan dari hospital dan pusat perubatan lain, bagaimanapun kumpulan pejuang itu menafikan.
Malah, pejabat media kerajaan Hamas di Gaza mengecam operasi itu dengan mengatakan bahawa menyerbu kompleks perubatan Al-Shifa dengan kereta kebal, dron, senjata dan menembak di dalamnya merupakan jenayah perang.
Tentera Israel melakukan beberapa operasi ketenteraan ke atas kemudahan perubatan di sekitar Gaza sejak permulaan perang.
Peperangan bermula apabila Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Gaza pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan angka rasmi AFP.
Pejuang Hamas menahan kira-kira 250 tebusan Israel dan asing semasa serangan 7 Oktober lalu, tetapi berpuluh-puluh dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada November lalu.
Israel percaya kira-kira 130 tebusan kekal di Gaza termasuk 33 orang termasuk lapan askar dan 25 orang awam yang kini dianggap sudah meninggal dunia. – AFP











