LONDON: Harapan pemulihan dana untuk Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Barat (UNRWA) yang menyediakan bantuan kepada pelarian Palestin di Gaza dan di seluruh rantau ini semakin pudar selepas terdapat laporan bahawa penggantungan derma Amerika Syarikat (AS) boleh dibuat secara kekal.
Sebanyak 14 penderma termasuk Jerman, United Kingdom (UK) dan AS menghentikan pembiayaan lebih sebulan yang lalu selepas UNRWA menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan bahawa 12 kakitangannya mengambil bahagian dalam serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober lalu.
AS sahaja menyediakan derma kepada UNRWA sebanyak AS$343 juta (RM1.625 bilion) pada tahun lalu.
DERMA AMAL
Bagi mengatasi kekurangan besar akibat penggantungan itu, Pusat Bantuan dan Bantuan Kemanusiaan Raja Salman Arab Saudi, KSrelief, mengumpul hampir AS$170 juta (RM805.7 juta) sebagai derma amal.
Bagaimanapun, sokongan untuk penggantungan berterusan tidak bersifat universal.
Kanada, Suruhanjaya Eropah dan Sweden mengumumkan bahawa mereka akan menyambung semula bantuan.
TARIK BALIK PENGGANTUNGAN
Bagaimanapun, Ketua Penyelia KSrelief, Abdullah Al-Rabeeah, berkata, satu-satunya cara untuk memulihkan agensi itu ialah dengan menarik balik penggantungan selain berharap pembiaya global akan menyemak semula pendirian mereka.
Pengarah Asia Barat untuk Pertubuhan Komuniti Antarabangsa, Gershon Baskin turut bersetuju dengan pandangan bahawa pemulihan pembiayaan adalah penting untuk kelangsungan UNRWA.
Manakala Penyelaras Advokasi untuk Pejabat Wilayah Palestin, Action Aid, Riham Jafari berkata bahawa penarikan penggantungan bersama-sama dengan usaha yang datang dari Riyadh adalah sangat penting.
“Perkembangan ini akan membolehkan UNRWA meneruskan kerja-kerja kemanusiaan dan pembangunannya selain bertindak balas terhadap keperluan kemanusiaan yang semakin meningkat untuk penduduk Gaza akibat daripada peperangan berterusan.
“Dari segi politik, ini bermakna menyokong UNRWA adalah sebahagian daripada menyokong kestabilan di rantau ini dan menyokong keadilan antarabangsa kerana UNRWA bertanggungjawab memberi perkhidmatan kepada jutaan pelarian. Ia adalah sebahagian daripada menyokong keamanan serantau, kata Riham.
Israel mendakwa 12 kakitangan UNRWA menyertai serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober lalu.
Walaupun $170 juta (RM805.7 juta) yang dikumpul oleh KSrelief dan penyambungan semula pembiayaan dari Kanada, Sweden dan Suruhanjaya Eropah, Riham berkata, ia tidak mungkin mencukupi untuk menampung kekurangan yang ada.
Lebih memburukkan keadaan, kesan daripada penggantungan pembiayaan nampaknya mempunyai kesan merentasi sektor bantuan kemanusiaan yang lebih meluas.–AFP










