Dakwah Islamiah berlaku sejak zaman Nabi Adam A.S sehingga kepada Rasulullah SAW. Selepas itu, usaha dakwah diteruskan di zaman pemerintahan Khulafa’ Al-Rasyidin, Umaiyyah, zaman kehebatan pemerintahan Islam iaitu era Abbasiah hingga ke hari ini.
Usaha-usaha dakwah Islamiah dijalankan dengan metode yang terancang, tersusun, sistematik disertai dengan petunjuk dan rahmat wahyu Allah SWT agar efektif kepada sasaran dakwah. Umat Islam sama ada secara individu atau organisasi disarankan meneruskan penyebaran dakwah Islamiah ke seluruh alam berdasarkan wahyu Allah SWT dan panduan dakwah Rasulullah SAW. Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin dalam karangannya, Metodologi Dakwah menjelaskan dakwah Islamiah berkembang dengan baik di nusantara, iaitu wujudnya hubungan dua hala yang baik sebelum Islam, menjalankan perniagaan sambil menyampaikan mesej dakwah, peluang dan masa untuk berdakwah, hubungan antara pedagang dan pemerintah setempat, raja memeluk Islam, kedudukan pedagang yang dipandang tinggi dan dimuliakan masyarakat, perkahwinan pedagang dengan wanita tempatan, akhlak mulia pedagang dan kedudukan agama Islam sebagai agama fitrah yang sesuai dengan jiwa manusia.
Oleh yang demikian, untuk memastikan dakwah Islamiah mencapai matlamatnya, maka program-program yang dijalankan masa kini perlu diteliti, dikaji dan difahami dengan sempurna agar dapat diaplikasikan dengan panduan dan strategi yang tersusun, menepati latar belakang sasaran, memahami konsep dakwah Islamiah, melihat situasi dan kesesuaian masa serta tempat untuk berdakwah. Tanpa strategi yang tepat, mantap dan bersistematik sudah pasti program-program akan berdepan cabaran-cabaran ke hadapan.
Perkataan dakwah berasal daripada bahasa Arab iaitu menyeru, mengajak dan memanggil manusia ke jalan keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Dari segi bahasa, ia merupakan nama terbitan daripada kata dasar yang bererti meminta pertolongan, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru dan melaung.
Pengertian dakwah dari segi istilah membawa beberapa maksud. Menurut ulama, al-Bahi al-Khuli, dakwah bererti memindahkan umat dari suatu keadaan kepada suatu keadaan. Takrif ini diperjelaskan oleh Dr. Ra’uf Shalaby sebagai usaha mengimarahkan sistem yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW iaitu nabi yang terakhir bagi umat Islam. Beliau menjelaskan dakwah Islamiah merupakan gerakan perubahan masyarakat daripada kekufuran kepada keimanan, kegelapan kepada cahaya dan kesempitan kepada lapang dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
Menurut Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Macal Allah, dakwah mencakupi segala pengetahuan yang diperlukan manusia untuk mengetahui matlamat hidup dan menerangi liku-liku perjalanan kehidupan, sekali gus dapat meletakkan mereka dalam golongan mendapat petunjuk.
Dalam kitab Thaqafah al-Daciyah karangan Dr. Yusuf al-Qardhawiy menjelaskan dakwah adalah langkah membawa orang lain kepada Islam dan mengikut petunjuk tersebut, melaksanakan ketetapannya (ajaran Islam) di atas muka bumi, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri kpada Allah SWT, permohonan dan ketaatan kepada Allah SWT dan melepaskan diri daripada penguasaan selain dari Allah SWT yakni toghut.
Dr. Abu Al-Majd al-Sayyid Naufal dalam kitabnya al-Dacwah ila Allah Tacala mendefinisikan dakwah secara lebih khusus iaitu pelaksaanaan aktiviti oleh mereka yang berkemampuan dalam usaha memberi nasihat seperti petunjuk dan bimbingan yang betul dari kalangan umat Islam di mana mereka berada dan pada setiap masa dan bertujuan untuk menarik perhatian manusia supaya menerima Islam, akidah dan cara hidup Islam dan memberi amaran kepada mereka dari menganut agama lain dengan menggunakan pendekatan-pendekatan tertentu.
Dr. Abdul Karim Zaidan pula menerangkan dakwah menyeru kepada agama Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW yang mana ia terdiri daripada empat asas utama iaitu pendakwah, isi kandungan, sasaran dan media dakwah. Dakwah menurut Ali Mahfuz dalam kitab Hidayah al-Mursyidin Ila Turuq al-Wacz Wa al-Khatubah ialah inisiatif mengajak manusia kepada kebaikan dan petunjuk, dan menyuruh berbuat baik dan mencegah berbuat kemungkaran untuk mencapai kebahagiaan dunia dan kebahagiaan akhirat.
Manakala Miska Muhammad Amin, dakwah merupakan usaha membuka perdebatan atau konfrantasi keyakinan sesama insan dan membuka kemungkinan bagi manusia untuk menetapkan pilihannya sendiri. Selain itu, ia juga bermaksud menyeru individu kepada sesuatu atau merangsang sasaran untuk mendapatkan sesuatu.
Menurut Wan Hussein Azmi, dakwah dilaksanakan dalam bentuk fardu ain dan fardu kifayah dan dari sudut istilah ia berpandukan dakwah Rasulullah SAW yang mana ia dirumuskan kepada beberapa istilah iaitu: Mempengaruhi manusia melakukan kebaikan dan menuju petunjuk Allah SWT, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari melakukan kemungkaran atau kejahatan agar mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Menyelamatkan manusia dari jalan kesesatan atau kejahatan dan memberi peringatan supaya mreka menjauhi perkara-perkara yang boleh menyebabkan balasan azab Allah SWT.
Inisiatif para ulamak dan orang-orang yang memahami agama, mengajarkan orang ramai untuk memahami perkara-perkara agama.
Program sempurna yang meliputi segala ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia supaya mereka memahami tujuan hidup.
Dakwah dalam erti kata yang lain bermaksud usaha mendorong atau memotivasi sasaran dakwah agar melaksanankan kebaikan dan mengikuti petunjuk serta menyuruh membuat makruf (kebaikan) dan mencegah daripada perbuatan yang menjurus kepada kemungkaran supaya sasaran dakwah memperolehi kebahagiaan dunia dan akhirat.
Manakala ilmu dakwah secara umum menurut pendapat Toha Yahya Omar dalam buku Ilmu Dakwah, ia ditakrifkan sebagai suatu ilmu pengetahuan yang menggariskan pendekatan-pendekatan, tuntutan dan cara menarik perhatian manusia untuk menganut, melaksanakan sesuatu ideologi, pendapat dan pekerjaan tertentu.
Wardi Bachtiar menjelaskan dakwah merupakan satu proses untuk mengubah sesuatu keadaan kepada yang lebih baik sesuai dengan ajaran Islam dan proses tersebut meliputi lima elemen penting iaitu sasaran dakwah (daci), metod, media, objek dan isi dakwah yakni Islam itu sendiri.
Ilmu dakwah adalah pengetahuan tentang proses mengajak manusia ke jalan Allah SWT atau Islam secara sistematik, logikal, hasil pemikiran manusia dan mempunyai objektifnya.
Oleh yang demikian perkataan dakwah dapat disimpulkan sebagai satu usaha oleh pendakwah untuk mengajak manusia mengetahui, memahami, mengamalkan dan menghayati ajaran Islam serta mengesakan Allah SWT dengan pendekatan-pendekatan tertentu tanpa meninggalkan asas-asas utamanya dengan matlamat untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Dengan kata lain, dakwah Islamiah mengajak manusia dengan cara bijaksana ke arah jalan yang benar sesuai dengan perintah Allah SWT demi kemaslahatan dan kebahagiaan sasaran dakwah di dunia dan akhirat.










