AJL38: Pertama kali ada nombor bila bertanding - Amir Jahari - Utusan Malaysia

AJL38: Pertama kali ada nombor bila bertanding – Amir Jahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Terkejut banyak sebenarnya sebab saya tak pernah menyangka akan menjadi juara sebab sebelum ini saya banyak kali masuk pertandingan tapi tak pernah ada nombor pun.”

Itu reaksi penyanyi, Amir Jahari ketika ditanya perasaan merangkul trofi Anugerah Juara Lagu ke-38 menerusi lagu Hasrat malam tadi.

Jelas Amir, dia sebelum ini pernah beberapa kali menyertai pertandingan muzik dan hanya pernah menduduki tempat kedua namun tidak pernah menjuarai apa-apa pertandingan.

‘Kalau masuk pertandingan itu memang banyak kali. Tidak kira besar atau kecil. Jadi untuk meluahkan perasaan sebagai juara itu saya tidak pandai, sebab tidak pernah menang apa-apa.

“Kemenangan paling tinggi pun dalam ada satu acara yang saya sertai bersama gitaris dan produser muzik, AG Coco. Itu dapat nombor dua tapi tak pernah juara.

“Jadi kalau tanya apa perasaan saya bergelar juara, saya rasa sangat-sangat pelik sebenarnya. Saya tidak ada berharap apa-apa. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat,” ujarnya.

Hasrat yang merupakan karya ciptaan sepenuhnya Amir sendiri itu berjaya menewaskan 11 lagu lain dalam pertandingan lagu berprestij yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

Tempat kedua pula diraih oleh lagu Sutera ciptaan dan lirik Aisha Retno dan MFMF manakala tempat ketiga dimiliki oleh lagu Jangan Mati Rasa Itu yang dibawakan Aina Abdul.

Sementara itu, biarpun Hasrat diramal bergelar juara, namun Amir tidak pernah meletakkan harapan besar dan enggan ‘diracun’ dengan harapan peminat lagu tersebut.

“Saya tak baca komen sebelum naik ke pentas. Tetapi memang ada yang maklumkan tentang ramalan itu kepada saya.

“Saya tak mahu percaya benda itu sebab saya tidak pernah berada ditempat pertama jadi saya tak tahu dan saya tak nak berharap.

“Sebab pada penghujungnya saya adalah saya dan muzik saya akan ‘bercakap’ sendiri. Tapi jauh dilubuk hati saya, juara itu bukan bermakna segalanya,” katanya.

Untuk info, Hasrat merupakan lagu runut bunyi bagi filem, Imaginur lakonan hebat Beto Kusyairi dan Diana Danielle yang turut membuat kemunculan khas dalam persembahan lagu itu semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya