Rohingya Pasar Borong Selayang lari ke negeri utara?

Rohingya Pasar Borong Selayang lari ke negeri utara?

DERETAN rumah yang dikatakan disewa oleh etnik Rohingya di sebuah kawasan di Bagan Serai, Perak. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Takut dengan operasi demi operasi pihak berkuasa di Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur, etnik Rohingya yang pernah bekerja di pasar itu kini dikatakan `berhijrah’ ke negeri-negeri di utara sebagai tapak baharu mencari rezeki.

Antara lokasi kebanjiran warga asing di Perak ialah di sekitar Daerah Kerian terutama di Bagan Serai. Malah etnik Rohingya itu didakwa banyak membangunkan komuniti sendiri di Pulau Pinang dan Kedah. Mereka kini ramai bekerja dalam bidang pertanian.

Sebelum ini kebanyakan mereka bekerja di Pasar Borong Selayang namun selepas `terancam’ dengan serbuan pihak berkuasa, mereka lari atau berhijrah ke tempat baharu.

Sitausi ini menyebabkan kehadiran etnik itu semakin bertambah di Daerah Kerian iaitu Bagan Serai, Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Parit Buntar. Kebanjiran warga asing itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan.

Difahamkan, terdapat kira-kira 50 keluarga Rohingya menyewa di sebuah kawasan di sini.

Seorang penduduk tempatan di sini, Saharuddin Napiah, 50, berkata, kehadiran etnik itu yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa -Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNCHR) mula dikesan di kawasan Bagan Serai sekitar 2020.

Menurutnya, penduduk tempatan hanya mengetahui kehadiran etnik ini apabila golongan itu keluar dari penempatan mereka di sekitar sebuah kawasan di sini untuk menerima bantuan makanan daripada sebuah pertubuhan bukan pertubuhan kerajaan (NGO) beberapa tahun lalu.

“Pada masa itu etnik itu, jumlah mereka belum ramai namun dari setahun ke setahun semakin bertambah dan tinggal di rumah sewa dimiliki oleh warga tempatan.

“Kehadiran mereka menimbulkan rasa kurang senang dan membimbangkan penduduk tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, dia difahamkan kebanyakan etnik Rohingya yang datang ke Bagan Serai terdiri daripada mereka yang pernah menetap dan bekerja di Pasar Borong Selayang.

Katanya, ia berdasarkan maklumat daripada beberapa etnik itu yang bergaul dengan masyarakat tempatan di sini.

“Ada di antara etnik ini yang bergaul dengan masyarakat setempat dan mereka menceritakan kebanyakannya datang ke Daerah Kerian asalnya pernah bekerja di Pasar Borong Selayang.

“Apabil digempur pihak berkuasa di sana (Pasar Borong Selayang), mereka mulai takut dan ini menyebabkan mereka lari dan berhijrah ke negeri-negeri di sebelah utara seperti Perak utara, Pulau Pinang dan Kedah.

“Di sini mereka mencari peluang pekerjaan baharu dalam sektor pertanian dan perladangan. Di Daerah Kerian hanya sebilangan kecil yang bekerja di sektor pembinaan manakala yang lainnya terlibat dalam pekerjaan pertanian iaitu sawah padi dan kebun sayur,” katanya.

Mengenai penempatan etnik itu di sini, Saharuddin berkata, mereka menyewa di rumah penduduk tempatan dikatakan yang disewa pada kadar RM250.

Katanya, penempatan itu pernah digempur pihak berkuasa selepas laporan mengenainya disiarkan dalam akhbar ini.

“Kami berpendapat jumlah etnik Rohingya yang tinggal di kawasan kampung itu agak ramai. Namun bilangan yang ditahan semasa serbuan pihak berkuasa, tidak menggambarkan jumlah mereka yang berada di sini, mungkin mereka bersembunyi di tempat lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN