Juara teh tarik 33 kali

Juara teh tarik 33 kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPAKARAN menarik teh tanpa tumpah dan masih mengikut rentak muzik walaupun dalam keadaan wajahnya ditutup kain hitam.

Aksi berani Master Teh Tarik Asia, Syed Khaidhir Syed Abdullah, 46, berjaya meraih tepukan gemuruh hadirin yang menonton persembahannya.

Kelebihan itu turut melayakkannya mengungguli Cabaran Teh Tarik di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengurus Restoran dari Johor ini membawa pulang wang RM5,000 sekali gus menewaskan empat peserta lain.


Tempat kedua dimenangi Pakir Mohamed Jamal Mohamed (RM3,000) ketiga, Mohamad Shamier Danial Nor Hasmawi (RM2,000).

Syed Khaidhir berkata, kemenangan tersebut merupakan yang ke-33 diraihnya sepanjang hampir 30 tahun membuat air kegemaran rakyat Malaysia itu.

Biarpun sudah biasa menarik teh dengan wajah bertutup kain, namun teknik itu tidak mudah dilakukan tanpa latihan berterusan.

“Kain hitam ini tebal dan membuatkan pandangan seseorang berubah gelap gelita.

“Setiap kali buat teknik ini, saya hanya mampu berselawat agar air tidak tumpah sebab tidak nampak apa-apa.

“Walaupun mencabar tetapi kelainan inilah yang banyak membantu saya menang dalam pelbagai pertandingan peringkat negara mahupun Asia termasuk menewaskan peserta dari Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain aksi menutup wajah, satu lagi teknik yang sukar untuk dilakukan ialah menarik teh sambil berpusing laju dan lama.

Kata Syed Khaidhir, latihan untuk pertandingan akhir itu cuma dibuat selama tiga jam bermula 11 malam di parkir hotel tempatnya menginap.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini