BAITULMUQADDIS: Wakil dari parti politik Palestin termasuk Hamas dan Fatah dijangka mengadakan pertemuan di Moscow, Russia bagi membincangkan mengenai penyatuan dan pembentukan kerajaan Palestin.
Lapor Al Jazeera, walaupun terdapat banyak ketidakpastian mengenai pertemuan itu, ia dijangka berlangsung selama tiga hari bagi mewujudkan strategi bersatu.
“Russia sebelum ini mengadakan mesyuarat yang sama, jadi, ini adalah pertemuan keempat seumpamanya dan jelas sekali mereka akan cuba membantu untuk mencapai perdamaian antara semua puak Palestin ini,” kata laporan berkenaan.
Menjelang pertemuan itu, Menteri Luar Palestin, Riad Malki berkata, dia tidak mengharapkan keajaiban daripada pertemuan itu.
“Kami berharap mungkin ada keputusan yang baik dari segi persefahaman antara semua pihak tentang keperluan untuk menyokong kerajaan teknokratik seperti itu.
“Sudah tentu, kami tidak menjangkakan keajaiban berlaku hanya dalam satu pertemuan mudah di Moscow, tetapi saya percaya bahawa pertemuan di Moscow harus diikuti oleh mesyuarat lain di rantau ini tidak lama lagi,” katanya.
Pertemuan itu diadakan beberapa hari selepas Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mohammad Shtayyeh mengumumkan peletakan jawatan kerajaannya yang mentadbir bahagian Tebing Barat.
Mohammad memberikan alasan keganasan yang semakin memuncak dan perang di Gaza sebagai alasan di sebalik peletakan jawatannya.
“Saya melihat bahawa peringkat seterusnya dan cabarannya memerlukan pengaturan kerajaan dan politik baharu yang mengambil kira realiti baharu di Gaza dan keperluan untuk konsensus Palestin-Palestin berdasarkan perpaduan Palestin dan perluasan kesatuan kuasa ke atas bumi Palestin,” kata Mohammad.
Mohammad yang akan kekal dalam kedudukannya sebagai penjaga sementara sehingga Perdana Menteri baharu diumumkan berkata, pentadbiran baharu itu perlu mengambil kira realiti yang muncul di Gaza selepas lima bulan pengeboman sengit Israel.
Tetapi peletakan jawatannya menandakan peralihan yang menggariskan hasrat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk memastikan PA mengekalkan tuntutannya terhadap kepemimpinan ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk memulihkan usaha mewujudkan negara Palestin. -Al Jazeera










