Tentera AS tembak jatuh 18 dron pemberontak Houthi Yaman

Tentera AS tembak jatuh 18 dron pemberontak Houthi Yaman

Seorang pejuang Houthi di atas kapal kargo Galaxy Leader.-REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Komando Pusat tentera Amerika Syarikat (Centcom) berkata pihak mereka menembak jatuh 18 dron yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi Yaman di selatan Laut Merah.

Centcom dalam kenyataan memberitahu, ia merupakan serangan ke-26 kumpulan bersenjata itu di lorong perkapalan antarabangsa dalam tempoh tujuh minggu lalu.

Dalam pada itu, Centcom berkata, jet pejuang dari kapal pengangkut pesawat Dwight D Eisenhower dan empat kapal pemusnah termasuk sebuah dari United Kingdom (UK), mengambil bahagian dalam operasi itu.

Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.

Bekerjasama dengan pasukan dari UK, Centcom berkata, dua peluru berpandu jelajah anti-kapal dan satu peluru berpandu balistik anti-kapal turut ditembak.

“Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan kompleks kenderaan udara tanpa pemandu (UAV). Satu serangan sehala yang direka oleh Iran menggunakan peluru berpandu jelajah anti-kapal dan peluru berpandu balistik anti-kapal dari kawasan yang dikuasai Houthi di Yaman ke Laut Merah Selatan,” jelas Centcom.

Serangan itu adalah yang ke-26 oleh Houthi di lorong perkapalan di Laut Merah sejak 19 November lalu apabila ia merampas Galaxy Leader, sebuah kapal pengangkut kenderaan yang dalam perjalanan dari Turkiye ke India.

Kumpulan bersekutu Iran itu berkata, ia memulakan serangan sebagai protes terhadap perang Israel ke atas Gaza.

AS bulan lalu membentuk gabungan maritim antarabangsa untuk menangani serangan itu yang mendorong beberapa syarikat perkapalan mengambil laluan laut yang lebih panjang di sekitar selatan Afrika dan mengelakkan daripada menggunakan Laut Merah.

Houthi berkata, mereka akan meneruskan serangan sehingga Israel menghentikan konflik di Gaza.

Centcom berkata, tentera AS menembak jatuh dron yang dilancarkan dari Yaman pada hujung minggu manakala Naib Laksamana Brad Cooper, komander tentera laut AS di Asia Barat, berkata, Houthi melancarkan dron laut yang sarat bahan letupan ke lorong perkapalan minggu lalu, kali pertama mereka menggunakan senjata sedemikian dalam konflik semasa.

Houthi berkata, mereka menyasarkan kapal berkaitan Israel tetapi Cooper berkata berpuluh-puluh negara mempunyai hubungan dengan kapal yang diserang. -Al Jazeera

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya