KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Muaz Zabir tidak terkesan dengan ancaman yang dilayangkan terhadapnya di media sosial selepas terpalit dengan kontroversi membabitkan Aliff Aziz dan Bella Astillah.
Kata Muaz, keadaan terkawal dan segala cemuhan yang diterimanya gara-gara isu berkenaan berhasil ditanggani sebaiknya.
“Saya ada terima mesej berbaur ancaman di Instagram dan TikTok daripada individu yang tak bagi saya datang Singapura.
“Tapi perkara itu tidaklah teruk dan tak adalah sampai memerlukan saya membuat laporan polis atau melantik pengawal keselamatan kalau ke sana.
“Insya-Allah tak ada perkara buruk berlaku kalau niat kita betul, datang ke negara orang untuk bekerja,” kongsinya.
Nama Muaz menjadi sorotan selepas beberapa gambar yang menunjukkan kemesraannya dengan isteri Aliff Aziz itu tular di media sosial.
Bella yang memfailkan cerai selepas Aliff ditangkap khalwat dengan Ruhainies, menafikan dakwaan berlaku curang dengan menjalinkan hubungan dengan Muaz.
Muaz dalam masa yang sama enggan dikaitkan lagi dengan rumah tangga pasangan sensasi berkenaan.
“Saya tak boleh tutup mulut orang, apa yang saya boleh buat adalah perbaiki diri.
“Saya ambil positif apa yang berlaku, uruskan hidup dengan cara terbaik,” jelasnya.










