Warga emas disamun tangan diikat felda

Warga emas diikat dengan paip getah dalam kes samun di Felda Sungai Tekam

MOHD. ARIS Mohd. Sidek bercerita kejadian samun sambil menunjukkan pergelangan tangannya cedera di Felda Sungai Tekam di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT (Dikemas kini): Seorang warga emas diikat kedua-dua belah tangan dengan paip getah dan mulutnya ditutup dengan kain oleh dua penyamun yang melarikan wang tunai, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan telefon bimbit dalam kejadian di Felda Sungai Tekam di sini semalam.

Mangsa Mohd. Aris Mohd. Sidek, 85, berkata, sebelum kejadian, beliau menghantar anak saudara bekerja sebelum memasuki rumah untuk solat Isyak kira-kira pukul 8.30 malam.

“Ketika memasuki rumahnya, saya dipeluk dari belakang oleh seorang lelaki, ditutup mulut dengan kain dan tangan diikat menggunakan paip getah,” katanya di Felda Sungai Tekam di sini hari ini.

Mohd. Aris yang juga peneroka di tanah rancangan itu percaya dua penyamun itu bersembunyi di luar rumah sebelum meluru masuk ke dalam rumah.

Katanya, dia cuba meronta untuk melepaskan ikatan sehingga pergelangan tangan kirinya berdarah tetapi gagal.

“Dalam keadaan tergaman bercampur takut, salah seorang penyamun cuba mengugut dengan mengacukan pisau sambil meminta wang dan barang berharga yang ada dalam rumah.

“Lelaki berkenaan menyeluk poket baju saya dan mengambil wang tunai RM1,200 yang baharu dikeluarkan dari bank untuk perbelanjaan harian,” katanya sambil menambah, penyamum berkenaan juga meminta kad ATM dan nombor pin sebelum bergegas keluar dari rumah.

“Saya merayu kepada dua lelaki berkenaan supaya membuka ikatan tangan namun tidak diendahkan,” katanya yang sempat mencapai pisau yang ditinggalkan oleh penyamun dan memotong paip getah berkenaan.

“Setelah berjaya melepaskan ikatan, saya meluru keluar dalam keadaan berdarah di pergelangan tangan untuk meminta tolong di hadapan rumah,” katanya sambil menambah, seorang penduduk membawanya ke pondok polis Felda sebelum dihantar ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan.

Warga emas itu berkata dua hari lalu sebelum, kunci keretanya dilarikan oleh penyamun yang tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad mengesahkan kejadian dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN