Kedai runcit ‘haram’ warga asing diserbu

Kedai runcit ‘haram’ warga asing diserbu

Penjaga kedai mengeluarkan minyak bersubsidi semasa Penguat Kuasa KPDN Melaka melakukan serbuan di sebuah kedai runcit haram ‘perkampungan’ Bangladesh dalam pusat pelancongan ketika operasi di Alor Gajah, Melaka, malam kelmarin. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH – Sebuah kedai runcit haram yang beroperasi di kawasan pedalaman perkampungan warga asing di sini sejak lima tahun lalu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, malam semalam.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, seorang warga Bangladesh berusia 36 tahun telah ditahan dan mengaku menjual pelbagai barang kawalan termasuk minyak masak, gula dan tepung.

Kata beliau, siasatan lanjut mendapati kedai runcit yang terletak kira-kira lima kilometer dari laluan utama sebuah resort itu menjual barangan pada harga dua kali ganda lebih tinggi berbanding pasaran luar.

“Mereka dikesan menjual barangan kawalan tanpa lesen dan permit sama ada daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau KPDN. Bekalan diperolehi daripada pembekal luar dan melalui perkhidmatan e-hailing.

“Harga yang dijual pula jauh lebih mahal iaitu RM5 untuk minyak masak peket satu kilogram (kg) berbanding RM2.50 manakala tepung gandum pula berharga RM3.50, sedangkan harga kawalan RM2.85 sepeket bagi berat satu 1 kg.

“Barangan runcit tersebut disediakan bagi pasaran lebih 50 pekerja asing warga Bangladesh yang menetap di asrama berhampiran resort berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat operasi di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Norena memberitahu, pihaknya kini sedang mengesan pembekal tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam kegiatan tersebut untuk dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, pembekal disyaki adalah pihak luar yang berada berdekatan dengan Melaka.

“KPDN Melaka akan terus membongkar lokasi-lokasi yang menyalahi peraturan dan memastikan ketirisan tidak berlaku di negeri ini,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×