Genap 100 hari perang di Gaza, Netanyahu berikrar tiada siapa

Genap 100 hari perang di Gaza, Netanyahu berikrar tiada siapa boleh menghalang

KANAK-kanak Palestin mencari barang yang boleh digunakan di kawasan sampah di Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar tiada siapa boleh menghalang pihaknya daripada memusnahkan kumpulan pejuang Hamas di Gaza ketika peperangan yang mengatasi rekod sejarah dunia itu memasuki hari ke-100.

Konflik itu bagaimanapun mencetuskan krisis kemanusiaan dengan lebih 23,843 orang dilaporkan terbunuh di Gaza dan sebahagian besar wilayah Palestin yang terkepung.

Serangan terbaharu melanda Houthi yang disokong Iran di Yemen, kelmarin selepas pemberontak memberi amaran tentang lebih banyak serangan di Laut Merah bagi menyekat perkapalan berkaitan Israel kerana menyokong Gaza.

Komando Pusat Amerika Syarikat (AS) berkata, tenteranya mencecah tapak radar Houthi, sehari selepas serangan pertama oleh tentera AS dan Britain ke atas tapak pemberontak di Yemen.

Perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu apabila pejuang Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Gaza yang mengakibatkan kira-kira 1,140 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Hamas, yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh AS dan Kesatuan Eropah turut merampas kira-kira 250 tebusan, 132 daripadanya, menurut Israel kekal di Gaza termasuk sekurang-kurangnya 25 dipercayai terbunuh.

Israel berikrar untuk memusnahkan pemerintah Islam Gaza dan melancarkan pengeboman tanpa henti yang membunuh sekurang-kurangnya 23,843 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut jumlah terkini daripada kementerian kesihatan wilayah itu.

Selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpangkalan di The Hague mendengar hujah perbicaraan Khamis lalu yang menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB, Netanyahu menegaskan, tiada mahkamah atau musuh tentera boleh menghalang Israel daripada mencapai matlamatnya untuk memusnahkan Hamas.

“Tiada siapa yang akan menghalang kami, bukan The Hague, bukan Axis of Evil dan tidak ada orang lain,” katanya pada sidang akhbar Sabtu lalu merujuk kepada kumpulan paksi penentangan yang sejajar dengan Iran di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman.

“Adalah mungkin dan perlu untuk diteruskan sehingga kemenangan dan kami akan melakukannya,” tambahnya, sambil berkata kebanyakan batalion Hamas di Gaza sudah dihapuskan.

Netanyahu berada di bawah tekanan domestik yang semakin meningkat untuk membawa pulang tebusan yang kini ditahan di Gaza selama 100 hari dengan beribu-ribu berhimpun di Tel Aviv untuk meminta pembebasan mereka.

“Kami akan terus ke sini minggu demi minggu sehingga semua orang dibebaskan,” kata salah seorang penduduk, Edan Begerano, 47, kepada AFP.

Pegawai kesihatan di Gaza berkata, serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 60 orang di wilayah yang dikepung.

Nimma al-Akhras, 80, menggambarkan salah satu serangan yang memusnahkan rumahnya.

“Kami mula menjerit dan saya tidak boleh bergerak tetapi seseorang menarik saya keluar dan meletakkan saya di atas kereta,” katanya.

Tentera Israel berkata, ia menyerang dengan berpuluh-puluh pelancar roket yang sedia digunakan di tengah Gaza dan menghapuskan empat pengganas dalam serangan udara ke atas Khan Younis, bandar utama di selatan Gaza.

Ia juga melaporkan bahawa juruteranya memusnahkan ‘pusat komando’ Hamas di tengah Gaza.

Seorang lelaki, Bassem Araf, ketika ditemui turut mengangkat gambar seorang kanak-kanak.

“Dia mati kelaparan dengan roti di tangannya. Kami cuba mengeluarkan roti dari tangannya tetapi ia dipegang kuat

“Ini adalah penentangan yang mereka sasarkan di Gaza, hanya kanak-kanak,” kata Araf.

Pengepungan Israel mencetuskan kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api yang teruk di Gaza di mana sistem kesihatan semakin runtuh.

Ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, Philippe Lazzarini berkata, semasa lawatan ke Gaza pada Sabtu lalu, dia melihat kematian besar-besaran, kemusnahan, perpindahan, kelaparan, kehilangan dan kesedihan sejak 100 hari lalu menodai kemanusiaan kita bersama.

Beliau memberi amaran bahawa seluruh generasi kanak-kanak di Gaza sedang trauma, penyakit merebak dan masa berdetik pantas untuk menuju kebuluran.

Musim sejuk memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di Gaza di mana PBB menganggarkan 1.9 juta, hampir 85 peratus daripada penduduk kehilangan tempat tinggal.

Ramai mencari perlindungan di Rafah dan kawasan selatan lain di mana kementerian kesihatan mengatakan tidak ada infrastruktur untuk menyokong mereka.

Jurucakap kementerian kesihatan Gaza menuduh Israel dengan sengaja menyasarkan hospital supaya dihentikan perkhidmatan serta memberi amaran tentang kesan buruk.

Hospital yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa itu berulang kali dilanda serangan Israel di Gaza sejak perang bermula.

Tentera Israel menuduh Hamas mengendalikan pusat komando dalam terowong di bawah hospital, satu tuduhan yang turut dinafikan pejuang Hamas.

Kurang daripada separuh daripada hospital Gaza berfungsi dan hanya sebahagiannya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seorang wartawan AFP di Rafah berkata, telekomunikasi dipulihkan sebahagiannya, sehari selepas pengendali utama Gaza, Paltel melaporkan gangguan terkini.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya