Politik Pak Man Telo

Politik Pak Man Telo

politik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila rakyat mula dihidangkan dengan pelbagai drama politik, itu petanda pilihan raya semakin hampir.

Akan muncul pelbagai episod ejek-mengejek, hasutan, naratif songsang dan janji yang melangit tinggi. Semua ini bertujuan mengalih kompas rakyat kepada permainan emosi agar mudah terpengaruh dengan kelompok tertentu.

Rakyat akhirnya terlupa kepada realiti kehidupan harian. Halwa telinga dimainkan dengan kata-kata indah, ceramah yang sedap didengar dan janji yang menyentuh emosi, supaya rakyat mengikut arah yang telah ditentukan.

Maka muncullah formula pentadbiran kononnya lebih bijaksana, lebih baik daripada yang sedia ada. Segala dasar kerajaan akan dikritik, seolah-olah mereka sahaja mempunyai jalan penyelesaian paling sempurna.

Rakyat sekali lagi diminta percaya kepada impian “Malaysia Baru”, sedangkan perjalanan kehidupan sebenar tidak banyak berubah seperti yang dijanjikan.

Inilah politik “Pak Man Telo” — menjanjikan keuntungan pantas, perubahan sepantas kilat, seolah-olah menukar kerajaan akan terus mengubah kehidupan rakyat dalam sekelip mata.

Irama ini dimainkan bertahun-tahun lamanya. Namun di depan mata, ramai masih bergelut dengan kos kehidupan dan mencari makna kehidupan yang lebih baik.

Akhirnya, tol tetap dibayar setiap hari, malah perjalanan terasa semakin panjang. Pendidikan percuma hanya tinggal mimpi indah. Janji harga kereta murah menjadi slogan yang hilang dibawa angin. Banyak lagi harapan menggunung dan fitnah politik dijadikan bahan drama untuk memancing sokongan rakyat.

Kali ini juga tidak banyak bezanya. Cerita sama akan dimainkan semula, cuma dengan alasan bahawa mereka “tidak mempunyai kuasa mutlak”.

Hakikatnya, kehidupan tidak berubah dengan politik emosi. Gaji tidak naik hanya dengan ceramah yang sedap didengar.

Tugas kerajaan ialah menyediakan prasarana kehidupan yang kondusif, mewujudkan peluang pekerjaan yang baik, berlaku adil kepada semua golongan rakyat, dan memastikan kantung kerajaan cukup kukuh untuk berbelanja secara realistik dan bertanggungjawab.

Rakyat sudah melalui lebih sedekad dengan pelbagai bentuk pentadbiran. Nilailah sendiri dengan akal dan pengalaman. Jauhkan emosi, jauhi cakap kosong.

Datuk Mohd Razlan Rafii adalah  Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN