Suri rumah kekal pengakuan tak bersalah buat hantaran jelik hina Agong

Suri rumah kekal pengakuan tak bersalah buat hantaran jelik hina Agong

Hina Agong
SUHAILA Abd. Halim hadir di Mahkamah Tinggi bagi menghadapi pertuduhan semula berhubung tindakannya membuat hantaran jelik hina Yang di-Pertuan Agong, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang suri rumah kekal tidak mengaku selepas dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi akaun Facebook tahun lalu.

Tertuduh, Suhaila Abd. Halim, 40, membuat pengakuan demikian dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya keatas Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan aplikasi tersebut menerusi akaun bernama ‘Suhaila Halim’.

Hantaran dengan niat menyakitkan hati orang lain itu dilihat di Hospital Sungai Buloh, kira-kira pukul 8.30 pagi, 5 Januari tahun lalu. Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab. Wahab mencadangkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Peguam mewakili Suhaila, Rushilan Gunalan, memohon pengurangan kerana mempunyai tanggungan enam anak berusia dua hingga 13 tahun.

“Selain hanya sebagai suri rumah dan ada anak yang masih menyusu, dia serta suaminya adalah daripada golongan B40. Justeru, saya merayu kos jaminan yang seminimum mungkin,” katanya.

Hakim Nor Hasniah Ab. Razak kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat MCMC sekali sebulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Julai depan.

Pada 7 Julai tahun lalu, Suhaila pernah dituduh dan mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu di mahkamah sama, namun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dua bulan kemudian susulan Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan jelik dan menyakitkan hati dalam Seksyen 233 sebagai tidak berperlembagaan serta membatalkannya.

Namun, pada 6 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan tersebut adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan apabila seksyen tersebut memperuntukkan sebarang komunikasi dalam talian bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menyakitkan hati, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain adalah kesalahan jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN