Zii Jia pilih Terbuka AS

Zii Jia pilih Terbuka AS

LEE Zii Jia bergambar di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, hari ini. - IHSAN INSTAGRAM KEDUTAAN AS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan pemain profesional lelaki negara, Lee Zii Jia untuk tidak beraksi pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters minggu ini akhirnya terjawab apabila dilaporkan bakal meneruskan cabaran di Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 28 Jun ini.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Kedutaan AS di Kuala Lumpur menerusi satu hantaran di Instagram rasmi mereka selepas menerima kunjungan Zii Jia bersama pasukannya sebelum berlepas ke Los Angeles.

“Dari Kuala Lumpur ke Los Angeles! Kami amat teruja menyambut kehadiran bintang badminton Malaysia, Lee Zii Jia bersama pasukannya di Kedutaan Amerika Syarikat hari ini sebagai persiapan menghadapi kejohanan di Los Angeles.

“Sukan mempunyai keistimewaan tersendiri dalam merapatkan hubungan antara kedua-dua negara dan kami tidak sabar untuk melihat Zii Jia mempamerkan bakat hebatnya di gelanggang Amerika. Selamat berangkat dan semoga berjaya, Zii Jia!” menurut kenyataannya hari ini.

Keputusan pemain ranking ke-62 dunia itu untuk meneruskan aksi di AS sekali gus menamatkan teka-teki mengenai perancangannya selepas menarik diri daripada Malaysia Masters yang membuka tirai di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.

Sebelum ini, Zii Jia turut menolak peluang saat akhir untuk menyertai pusingan kelayakan Malaysia Masters meskipun beberapa pemain menarik diri daripada kejohanan berstatus Super 500 tersebut.

Bekas juara Asia itu ketika ini masih dalam proses mendapatkan semula tahap kecergasan dan rentak permainan terbaik selepas bergelut dengan masalah kecederaan sebelum ini.

Zii Jia hanya kembali menjalani latihan penuh kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya Piala Thomas di Horsens, Denmark bulan lalu, namun tetap berjaya mempamerkan aksi positif apabila memenangi kesemua tiga perlawanannya bersama skuad negara.

Bagaimanapun, cabarannya di Terbuka Thailand minggu lalu tidak berakhir seperti diharapkan apabila dia yang memulakan aksi dari pusingan kelayakan tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan utama selepas tewas kepada pemain Israel, Daniil Dubovenko.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN