Sumali, Ahmad Jais tokoh terbaik sepak takraw

Sumali, Ahmad Jais tokoh terbaik sepak takraw

AHMAD Jais(tengah) bersama skuad sepak takraw negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara(ASN) 2025 di Majlis Sukan Negara(MSN), Bukit Jalil-IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua tokoh sukan sepak takraw negara, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Ahmad Jais Baharun mencuri tumpuan apabila masing-masing dinobatkan dalam kategori berprestij pada Anugerah Sukan Negara(ASN) 2025 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara(MSN), hari ini.

Ahmad Jais Baharun, jurulatih berpengaruh dalam sukan sepak takraw, merangkul Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan hasil kejayaan konsisten membimbing pasukan merangkul  pingat emas acara regu berpasukan di Sukan SEA 2025 di Thailand.

Kredibiliti beliau sebagai jurulatih terserlah apabila pendekatan taktikal dan disiplin tinggi yang diterapkan membuahkan hasil, selain turut membantu memperkukuh dominasi Malaysia dalam sukan tradisi itu.

“Terima kasih atas anugerah yang diberikan oleh MSN. Bagi saya, ini adalah wakil kepada sukan sepak takraw khususnya, dan anugerah ini juga adalah sebagai tanda penghargaan daripada MSN kepada semua jurulatih-jurulatih sukan sepak takraw. 

“Dan ini adalah satu pengiktirafan untuk kami barisan jurulatih terus bekerja kuat untuk memantapkan lagi dan juga melahirkan lebih ramai pemain-pemain yang berpotensi,” kata Ahmad Jais.

Sementara itu, Datuk Sumali Mohd Reduan pula menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Kepimpinan Sukan, sebagai menghargai sumbangan besar beliau dalam aspek pengurusan dan pembangunan sukan negara.

DATUK Sumali Reduan(tengah) menerima menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Kepimpinan Sukan-IHSAN MSN

Kepimpinan beliau dilihat membawa nafas baharu dalam tadbir urus sukan, termasuk usaha melestarikan ekosistem sukan sepak takraw dengan membina Akademi Sepak Takraw Negara dan mewujudkan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara(NSTDP) di peringkat akar umbi.

Penganugerahan ini sekali gus menjadi bukti pengiktirafan tertinggi negara terhadap individu yang bukan sahaja mencorak kejayaan di gelanggang, tetapi juga di belakang tabir pembangunan sukan tanah air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN