Dua kejohanan ruang kebangkitan regu negara

Dua kejohanan ruang kebangkitan regu negara

PASUKAN Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Myanmar dengan keputusan 3-0 dalam acara sepaktakraw Regu Berkumpulan pada Kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw TM ISTAF 2026 di Stadium Titiwangsa di sini, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekalahan pahit kepada Myanmar pada separuh akhir acara regu Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bukan alasan untuk skuad regu negara terus menoleh ke belakang, sebaliknya perlu dijadikan titik kebangkitan menjelang dua misi besar tahun ini.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menegaskan pemain negara mempunyai karakter dan kemampuan untuk bangkit semula, termasuk tonggak utama seperti Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi serta Mohamad Azlan Alias yang dilihat semakin kembali menemui sentuhan terbaik.

Sumali mengakui pengalaman tersingkir di pentas besar perlu menjadi pengajaran berguna kepada pemain agar lebih bersedia, bukan sahaja dari aspek permainan, malah kekuatan mental.

Beliau menegaskan kegagalan mengawal emosi dan hilang fokus terlalu awal hanya akan membuka ruang kepada lawan menguasai permainan.

“Dalam kejohanan besar, pemain perlu sentiasa bersedia. Jangan cepat hilang keyakinan atau terlalu kecewa.

“Kita lihat ketika menentang Myanmar, beberapa kesilapan awal banyak menjejaskan momentum permainan pasukan,” katanya.

Sumali berkata, beliau sudah mengingatkan pemain agar tidak terus dibelenggu tekanan mahupun kritikan, sebaliknya kembali fokus kepada kekuatan sebenar pasukan.

Katanya, prestasi kurang konsisten sebelum ini mungkin dipengaruhi faktor keyakinan pemain yang sedikit terjejas, namun tanda-tanda positif sudah mula kelihatan terutama dalam aksi acara berpasukan.

“Saya percaya mereka boleh bangkit semula. Ada pemain yang sebelum ini mungkin sedikit tertekan dan prestasi tidak begitu menjadi, tetapi sekarang mereka mula dapat semula rentak,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi Piala Raja Thai dan Sukan Asia Aichi-Nagoya, Sumali berkata skuad sedia ada masih menjadi pilihan utama, namun pintu rombakan tetap terbuka sekiranya prestasi semasa memerlukan perubahan.

Menurutnya, kelebihan pasukan negara ketika ini ialah keseimbangan dalam setiap regu selain keupayaan pemain menyesuaikan diri di beberapa posisi berbeza.

“Kalau perlu buat perubahan, kita akan lakukan. Apa yang penting, semua pemain perlu bersedia kerana kita juga ada pemain simpanan atau ‘joker’ yang boleh digunakan pada bila-bila masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN