Regu negara 'rejam' Singapura, mara ke suku akhir

Regu negara ‘rejam’ Singapura, mara ke suku akhir

PEREJAM negara, Muhammad Azlan Alias melakukan hadangan terhadap libasan perejam Singapura, Muhammad Tasman Mohammad Belal dalam aksi terakhir Kumpulan A acara regu kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad regu negara meneruskan rentak garang apabila menamatkan saingan Kumpulan A selaku juara kumpulan selepas mudah menundukkan Singapura 2-0 dalam aksi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Turun dengan reputasi selaku pilihan utama, trio negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam langsung tidak memberi ruang kepada lawan untuk mencetus kejutan.

Aksi bertenaga dipamerkan barisan negara sejak awal permainan menyaksikan Singapura yang mempertaruhkan Muhammad Effendy Khamis, Muhammad Tasman Mohammad Belal dan Abdul Hammirruddin Mohd Noor gagal menyaingi kepantasan serta ketajaman serangan Malaysia.

Dominasi itu diterjemahkan menerusi kemenangan 15-9 pada set pertama, sekali gus memberi petanda awal bahawa skuad negara berada di landasan tepat untuk menutup perlawanan dengan bergaya.

Momentum kemenangan diteruskan pada set kedua biarpun Malaysia melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhamad Noraizat Mohd Nordin.

Percaturan tersebut nyata menjadi apabila regu negara terus mempamerkan corak permainan kemas dan agresif sebelum menoktahkan cabaran Singapura 15-5 untuk mengesahkan kemenangan straight set.

Kejayaan itu bukan sahaja memastikan Malaysia muncul juara kumpulan, malah menyuntik keyakinan tambahan dalam mempertahankan kejuaraan pada edisi lalu.

Cabaran lebih getir menanti skuad negara apabila dijadual membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan D, Filipina, dalam aksi suku akhir malam ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN