KUALA LUMPUR: Hasrat Malaysia untuk melakar dua final pada malam ini di Piala Dunia Sepak Takraw 2026 lebur apabila tewas mengejut 0-2 kepada Myanmar dalam aksi separuh akhir acara regu di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Malaysia yang berjaya melakar ke final acara kuadran gagal meneruskan rentak yang sama dalam acara regu yang berlagsung selama 1 jam.
Sorakan ribuan penyokong nyata tidak cukup untuk menyuntik kebangkitan skuad negara yang dibarisi Farhan Adam selaku tekong, Syahir Rosdi sebagai pengumpan dan Azlan Alias di posisi perejam.
Malaysia bermula goyah apabila tunduk 9-15 pada set pertama, sekali gus memberi ruang kepada Myanmar menguasai rentak permainan.
Set kedua menyaksikan Myanmar terus tampil lebih tenang dan tersusun selepas tekanan bertali arus daripada gandingan Thant Zin Tun, Aung Aung dan Ye Htet nyata merencatkan percaturan Malaysia, sebelum skuad negara akur tewas 10-15 sekali gus menutup peluang ke pentas final.
Kekalahan itu turut menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian manis edisi 2024, apabila trio sama muncul juara selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 di pentas akhir.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Thailand menepati ramalan apabila menundukkan South Korea 2-1 untuk mengesahkan slot ke final.-UTUSAN










