Utamakan pendidikan murid berisiko

Utamakan pendidikan murid berisiko

murid
Selepas negara berjaya keluar dari pandemik Covid-19 pada 2022, daripada 10 murid sekolah rendah berumur 10 tahun, empat murid didapati tidak mahir membaca dan menulis. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

minda ahad anuarMINGGU lalu, saya sempat menonton satu program bual bicara santai Keluar Sekejap yang dikelolakan Khairy Jamaludin dan Shahril Sufian Hamdan yang mana mereka menemu ramah Ketua Ekonomi Bank Dunia di Malaysia, Apurva Sanghi.

Terdapat beberapa data menarik tentang prestasi pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia untuk 2023 yang dirujuk oleh Apurva Sanghi dari laporan terkini Bank Dunia bertajuk Fixing the Foundation Teachers and Basic Education in East Asia and Pacific.

Menurut beliau, kajian pasukan Bank Dunia yang dijalankan kepada murid-murid berumur 10 tahun mendapati kadar keciciran pembelajaran (learning poverty) kanak-kanak di Malaysia mencecah 40 peratus.

Data ini sangat jauh di belakang berbanding hanya antara tiga hingga empat peratus sahaja masalah keciciran pembelajaran yang dihadapi murid-murid di Jepun, Singapura dan Korea Selatan pada kohort umur murid yang sama iaitu 10 tahun.

Ini bermaksud selepas negara berjaya keluar dari pandemik Covid-19 pada 2022, daripada 10 murid sekolah rendah berumur 10 tahun, empat murid didapati tidak mahir membaca dan menulis walaupun ayat mudah dan mereka juga lemah dalam memahami apa yang dibaca.

Selain itu, data rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertajuk Kajian Kesihatan Dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2022) pula mengesahkan seorang daripada lima kanak-kanak berumur lima tahun di negara ini mengalami masalah bantut akibat kekurangan pemakanan berkhasiat.

NHMS juga menunjukkan data rasmi di mana berlakunya berat badan berlebihan atau obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur antara 13 hingga 17 tahun dan ini sangat membimbangkan kerana telah meningkat daripada 24.6 peratus pada 2012 kepada 30.5 peratus pada 2022.

Selain itu, di dalam dokumen NHMS di bawah Laporan Kajian Kesihatan Remaja juga mengesahkan 26.9 peratus dalam kalangan remaja di negara ini sedang berhadapan isu depresi atau kemurungan yang membimbangkan. Secara mudahnya, seorang bagi setiap empat remaja di negara ini berhadapan dengan isu kemurungan atau depresi.

Adalah jelas kepada kita, berdasarkan data-data rasmi peringkat antarabangsa oleh Bank Dunia dan peringkat kebangsaan oleh KKM ini bahawa isu keciciran pembelajaran, masalah bantut akibat kekurangan pemakanan, isu obesiti dan isu kesihatan mental khususnya kemurungan memerlukan perhatian dan solusi bersepadu oleh kerajaan khususnya di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak.

Dari perspektif pendidikan, untuk menjayakan pelaksanaan sistem pendidikan berkualiti, salah satu prinsip utamanya adalah memastikan terlebih dahulu murid-murid bersedia secara fizikal, emosi dan mental untuk memulakan pembelajaran. Murid-murid yang berhadapan dengan isu bantut, obesiti atau lemah emosi akan menghadapi kesukaran untuk menjayakan pembelajaran.

Apatah lagi jika mereka juga berada di dalam situasi keciciran pembelajaran akibat tidak menguasai dengan baik kemahiran 3M.

Walaupun kerajaan sejak dahulu menyediakan pelbagai insentif seperti Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah, Bantuan Awal Persekolahan dan pelbagai bantuan lain untuk murid-murid yang berisiko pembelajaran tetapi jumlah peruntukan didapati masih belum dapat menyelesaikan masalah dihadapi oleh murid-murid yang terjejas.

Peruntukan perlu ditambah dan terus kepada kumpulan sasaran iaitu murid-murid yang sangat memerlukan. Oleh itu, program RMT seharusnya dijenamakan semula sebagai ‘Program Makanan Berkhasiat Untuk Murid’ dan perlu diperluaskan kumpulan sasaran yang akan mendapat faedahnya.

Selain itu, bagi meningkatkan kualiti kesihatan mental, kerajaan juga perlu menambah bilangan guru kaunselor berkelayakan di setiap sekolah bagi untuk memastikan khidmat nasihat, kaunseling, motivasi dan sesi runding cara dapat dilakukan secara lebih berkesan.

Sistem pendidikan negara masih dalam proses pemulihan selepas bencana Covid-19. Kita masih belum pulih sepenuhnya. Malaysia merupakan negara di mana sekolah telah ditutup antara paling lama di rantau Asia. Banyak kajian mengesahkan murid dari keluarga miskin bandar, murid miskin di sekolah luar bandar dan pedalaman adalah kumpulan yang paling terkesan dan mengalami keciciran pembelajaran yang serius.

Malah ada murid-murid di peringkat sekolah menengah yang mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan bekerja secara upah. Murid-murid yang terjejas ini memerlukan lebih masa untuk pulih sepenuhnya.

Bayangkan, di dalam keadaan yang belum pun pulih sepenuhnya dari kesan akibat penutupan sekolah, pada masa sama, kajian OECD, UNICEF dan Bank Dunia juga menunjukkan murid dari keluarga miskin juga paling ramai menghadapi isu bantut, kekurangan zat, tidak sihat secara fizikal dan ada mengalami isu kemurungan yang bermula di persekitaran keluarga.

Kerencaman isu yang sedang melanda murid-murid dari kumpulan berisiko ini memerlukan perhatian oleh khususnya kementerian dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab kepada pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak. Kita perlu menyelesaikan isu-isu asas ini terlebih dahulu sebelum bercakap soal membina pendidikan berkualiti.

Di saat kita mungkin begitu leka dan terbuai untuk bersegera dalam membangunkan amalan dan slogan pendidikan ‘serba baru’ kepada murid-murid seperti KBAT, TS25, pendigitalan pendidikan, Karamah Insaniah dan yang lain, sebaiknya kita tumpukan dahulu seluruh usaha dan perhatian kepada agenda menyelesaikan segera isu-isu asas pendidikan seperti keciciran pembelajaran, murid bantut akibat kekurangan makanan berkhasiat, masalah obesiti dan isu kesihatan mental akibat kemurungan dalam kalangan murid sekolah. Semua ini perkara paling asas di dalam menjayakan sistem pendidikan negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya