Toleransi semata-mata tidak cukup untuk hidup harmoni

Toleransi semata-mata tidak cukup untuk hidup harmoni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI sebuah negara yang berbilang agama dan kaum, Malaysia tidak terlepas daripada cabaran perpaduan meskipun seruan keharmonian terus diulang saban tahun. 

Isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum masih terus timbul dalam pelbagai bentuk sama ada melalui polemik penggunaan istilah tertentu, penghinaan terhadap agama mahupun pertikaian berkaitan identiti budaya dan bahasa.

Cendekiawan sosial, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menggambarkan masyarakat Malaysia dalam keadaan ketegangan yang stabil. Ini bermakna masyarakat majmuk di Malaysia tidak sepenuhnya bebas daripada konflik tetapi berada dalam ketegangan yang memerlukan pengurusan berterusan agar tidak menggugat kestabilan secara menyeluruh.

Dalam erti kata lain, ketegangan yang terpendam di antara masyarakat majmuk umpama bom jangka yang menanti masa untuk meledak.

Justeru, bagi  menghubungkan kepelbagaian ini, bahasa yang membentuk kefahaman tentang keharmonian itu sendiri memerlukan tinjauan yang lebih mendalam dan terperinci.

Bahasa bukanlah alat komunikasi yang bersifat neutral. Hal ini kerana setiap bahasa membawa bersama pandangan alam yang membentuk cara sesuatu masyarakat berfikir dan memahami, termasuk berkaitan hubungan sosial pelbagai agama dan kaum. 

Oleh itu, apabila istilah ‘harmoni’ digunakan, persoalannya bukan sekadar bagaimana untuk mencapainya tetapi, lebih utamanya, apakah definisi harmoni itu sendiri beserta kata-kata kunci yang berkait dengannya.

 

MAKNA KEHARMONIAN

Dalam tradisi pemikiran Islam, keharmonian amat berkait rapat dengan keadilan, iaitu satu keadaan apabila setiap perkara diletakkan pada kedudukan yang benar dan tidak bercanggah antara satu sama lain sebagaimana yang dihuraikan oleh Prof. Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Kefahaman tentang kedudukan yang benar bagi setiap perkara adalah berteraskan tauhid sebagai asas dalam melihat realiti dan kehidupan manusia.

Daripada asas tauhidlah lahirnya prinsip moral yang membimbing pembentukan etika yang benar, membezakannya dengan kerangka yang berubah-ubah menurut kecenderungan peribadi dan persepakatan sosial semata-mata.

Di sinilah kata-kata kunci keharmonian menjadi penting untuk diteliti bagi menentukan bagaimana sesuatu masyarakat mentafsir masalah, merangka penyelesaian dan memahami serta mempraktikkan bentuk hubungan sosial yang ideal.

Istilah seperti toleransi, tasamuh dan muhibbah sering digunakan secara bersilih ganti seolah-olah membawa makna dan kefahaman yang sama. Hakikatnya, setiap istilah ini lahir daripada etimologi yang mengandungi kerangka pemikiran dan prinsip moral yang berbeza.

Namun begitu, sifat toleransi tidak terlepas daripada perbahasan falsafah. Karl Popper misalnya pernah mengemukakan frasa paradox of tolerance, iaitu satu keadaan apabila toleransi tidak terbatas dan tidak dipandu oleh prinsip moral akhirnya memberi ruang kepada pihak yang tidak toleran untuk mengeksploitasi keterbukaan masyarakat demi kepentingan sendiri. 

Akibatnya, toleransi yang pada asalnya bertujuan memelihara keharmonian boleh bertukar menjadi ancaman kepada keharmonian itu sendiri.

Jika keharmonian diusahakan melalui prinsip toleransi yang demikian, tidak hairanlah masyarakat Malaysia digambarkan sebagai ketegangan yang stabil. Hal ini kerana toleransi tidak semestinya menghapuskan sisi-sisi negatif yang wujud di antara pihak-pihak terlibat dan hanya menangguhkannya daripada muncul ke permukaan pada bila-bila masa apabila dijentik oleh isu dan polemik tertentu.

Berbeza dengan toleransi, tradisi keilmuan Islam menekankan prinsip tasamuh dan muhibbah. Merujuk kepada Lisan al-‘Arab, tasamuh berasal daripada perkataan sa-ma-ha yang membawa maksud kemurahan hati dan kelapangan jiwa.

Perkataan tasamuh juga terbina melalui imbuhan kata tafa’ul yang membawa konotasi saling atau keterlibatan dua pihak dalam sesuatu tindakan secara timbal  balik.

Ini memberi gambaran tasamuh bukan sekadar sikap sehala yang berat sebelah tetapi melibatkan interaksi dua hala yang saling memberi dan menerima.

Berbeza dengan toleransi yang menuntut sebelah pihak untuk bertolak ansur secara pasif, prinsip tasamuh secara aktif menuntut interaksi yang adil dan saksama antara pihak-pihak yang terlibat berdasarkan prinsip moral dan etika yang dikongsi bersama.

Seiring dengan konsep tasamuh, muhibbah pula berasal daripada perkataan bahasa Arab hubb yang membawa maksud kasih sayang dan belas ihsan. 

Menurut sarjana perbandingan agama Prof. Dr. Kamar Oniah Kamarul Zaman, muhibbah ialah semangat kebersamaan, budaya hidup bersama secara ikhlas dan saling menghargai serta kepekaan terhadap sesama manusia sebagai makhluk yang bermaruah.

Namun demikian, prinsip-prinsip ini tidak bermaksud kompromi terhadap kebenaran atau menjejaskan keteguhan terhadap pegangan agama sendiri.

Sekalipun terdapat nilai-nilai moral dan etika sejagat yang boleh dikongsi merentas agama, namun perbezaan dalam aspek kepercayaan dan agama tetap wujud. Ia juga diakui sebagai realiti yang tidak dapat disamakan dan disatukan. 

Sejarah Islam membuktikan kerangka ini bukan sekadar teori tetapi mengambil teladan daripada pelaksanaan praktikal yang nyata dan berjaya melalui Piagam Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW.

 

 

PENDIDIKAN UNTUK SALING MENGENALI

 

Pepatah Melayu menyebut, ‘tak kenal maka tak cinta’. Oleh itu, langkah awal dalam membudayakan tasamuh dan muhibbah haruslah bermula dengan proses pendidikan untuk saling mengenali seperti yang termaktub dalam ayat 13, surah al-Hujurat. 

Mengenali yang dimaksudkan bukan sekadar mengetahui kewujudan pihak lain secara luaran sebaliknya memahami dengan lebih mendalam latar belakang, sensitiviti, nilai dan cara hidup kelompok yang berbeza dalam masyarakat.

Sebahagian besar ketegangan yang berlaku sering berpunca daripada kegagalan memahami sensitiviti pihak lain, kecenderungan melihat perbezaan berdasarkan sentimen takut, prejudis dan stereotaip, ditambah pula dengan pertembungan di media sosial tanpa adab dan tanggungjawab moral. 

Kegagalan mengenal dan memahami pihak lain inilah yang membawa kepada kegagalan membezakan antara masalah sebenar dengan polemik buatan, seterusnya kegagalan merangka penyelesaian yang tepat dan berkesan.

Keharmonian dalam masyarakat majmuk tidak sewajarnya hanya terhad kepada pengurusan ketegangan dan perbezaan secara luaran tanpa menelusuri akar permasalahan berkaitan ketegangan itu sendiri. 

Pada akhirnya, keharmonian hanya dapat dicapai apabila perbezaan diurus dengan adab, ditegakkan atas keadilan serta dipandu oleh kesedaran moral dalam kehidupan bermasyarakat majmuk. –UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Akidah, Agama dan Keharmonian, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN