Mengapa semangat Perlembagaan masih tidak difahami?

Mengapa semangat Perlembagaan masih tidak difahami?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN terbaharu Tony Pua sekali lagi memperlihatkan kecenderungan segelintir pemimpin DAP yang gemar mentafsir Perlembagaan Persekutuan secara sempit dan selektif demi menyesuaikannya dengan agenda politik mereka.

Walaupun kenyataannya disulam dengan istilah seperti ‘raja berperlembagaan’, ‘kedaulatan undang-undang’ dan ‘keluhuran perlembagaan’, hakikatnya tulisan tersebut membawa mesej yang sangat jelas, iaitu cubaan memperkecilkan peranan institusi raja-raja Melayu dalam sistem kenegaraan Malaysia.

Beliau cuba menggambarkan seolah-olah raja-raja Melayu hanyalah simbol adat dan budaya tanpa fungsi besar dalam perjalanan negara. Naratif seperti ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah bercanggah dengan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang pembentukan Malaysia sejak Merdeka.

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Utama Negara. Ini bukan sekadar gelaran ‘istiadat’ kosong seperti yang cuba dibayangkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu. Sistem raja berperlembagaan di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri yang berbeza daripada model republik liberal Barat yang sering menjadi rujukan kelompok tertentu DAP.

Perlembagaan Persekutuan sendiri memberikan peranan penting kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu dalam memastikan kestabilan negara, kelangsungan agama Islam, kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta keseimbangan kuasa dalam sistem demokrasi berparlimen.

Tony juga sengaja mempermudahkan isu apabila menyebut kuasa raja hanyalah terhad kepada beberapa perkara tertentu. Hakikatnya, walaupun raja bertindak mengikut Perlembagaan, namun Perlembagaan itu sendiri memperuntukkan kuasa budi bicara dalam keadaan tertentu.

Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan Perdana Menteri, tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen serta memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja berhubung keistimewaan, kedudukan dan kemuliaan raja-raja Melayu.

Di peringkat negeri pula, raja-raja Melayu mempunyai kuasa dalam pelantikan Menteri Besar, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta tanggungjawab sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Semua ini bukan ‘hiasan simbolik’ tetapi sebahagian daripada struktur asas negara yang termaktub dalam Perlembagaan.

Lebih membimbangkan ialah sikap Tony yang seolah-olah cuba mewujudkan persepsi penghormatan terhadap institusi diraja bercanggah dengan prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Ini adalah hujah yang sangat mengelirukan.

Malaysia tidak pernah mengamalkan sistem monarki mutlak. Namun Malaysia juga bukan republik sekular yang memisahkan sepenuhnya institusi tradisional daripada pemerintahan negara. Sistem negara ini dibina atas gabungan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Kedua-duanya saling melengkapi, bukannya saling menafikan.

Tony dan DAP harus memahami institusi raja-raja Melayu bukan sekadar institusi politik tetapi merupakan asas sejarah dan identiti negara. Sebelum lahirnya Persekutuan Tanah Melayu, negeri-negeri Melayu telah pun wujud di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan tidak memadam sejarah tersebut, sebaliknya mengangkat dan mengekalkannya dalam kerangka negara moden.

Sebab itulah kedudukan raja-raja Melayu dilindungi secara jelas dalam Perlembagaan. Malah, Perkara 159(5) memperuntukkan sebarang pindaan yang menyentuh kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan hak istimewa Melayu/bumiputera memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. Ini membuktikan institusi diraja bukan elemen sampingan tetapi komponen utama dalam kontrak sosial negara.

Tony juga perlu berhenti menggunakan prinsip ‘Keluhuran Perlembagaan’ secara selektif. Jika benar menghormati Perlembagaan, maka beliau juga perlu menghormati keseluruhan roh dan struktur Perlembagaan itu termasuk kedudukan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 serta hak istimewa Melayu dan bumiputera di bawah Perkara 153.

Malangnya, ramai pemimpin DAP hanya ghairah bercakap tentang demokrasi, hak asasi dan fahaman perlembagaan  apabila ia selari dengan agenda mereka. Tetapi apabila Perlembagaan mempertahankan elemen tradisi dan identiti negara, mereka mula cuba mentafsir semula semangat Perlembagaan mengikut kerangka liberal yang diimport dari luar.

Rakyat juga tidak lupa DAP mempunyai sejarah panjang dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti institusi diraja. Sama ada secara terbuka atau tersirat, sering kali muncul kenyataan daripada pemimpin atau penyokong mereka yang cuba mempersoalkan peranan raja-raja Melayu dalam negara ini.

 

 

Hari ini Tony cuba tampil kononnya mempertahankan Rukun Negara. Namun prinsip kedua Rukun Negara, ‘Kesetiaan kepada raja dan negara’, bukannya kesetiaan bersyarat berdasarkan tafsiran politik tertentu. Kesetiaan kepada raja dan negara menuntut penghormatan terhadap institusi diraja sebagai salah satu tonggak utama negara.

Dalam situasi politik moden yang semakin kacau dan tidak stabil, institusi raja-raja Melayu terbukti memainkan peranan penting sebagai penstabil negara. Krisis politik pasca ‘Langkah Sheraton’ membuktikan perkara ini dengan jelas. 

Ketika ahli-ahli politik saling berebut kuasa dan gagal mencapai kestabilan, raja-raja Melayu memainkan peranan penting memastikan proses peralihan kuasa berjalan secara aman dan berperlembagaan.

Malah ketika negara berdepan situasi parlimen tergantung dan perebutan majoriti, rakyat melihat bagaimana kebijaksanaan institusi diraja membantu mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam krisis yang lebih buruk.

 Sebab itu cubaan pemimpin DAP itu memperkecilkan fungsi institusi diraja amat tidak bertanggungjawab. Ia bukan sekadar kenyataan politik biasa tetapi boleh menghakis kefahaman generasi muda terhadap asas kenegaraan negara ini.

DAP juga perlu berhenti berselindung di sebalik istilah kedaulatan undang-undang untuk menyerang pihak yang mempertahankan institusi diraja. Hakikatnya, institusi raja-raja Melayu itu sendiri dilindungi oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Menghormati raja-raja Melayu bukan bermaksud menolak demokrasi. Sebaliknya, itulah identiti unik Malaysia, sebuah negara yang berjaya menggabungkan demokrasi moden dengan warisan Kesultanan Melayu yang berakar sejak ratusan tahun.

Beliau boleh terus bercakap tentang raja berperlembagaan tetapi juga perlu faham bahawa sistem raja berperlembagaan Malaysia bukan salinan Barat. Ia lahir daripada sejarah, tradisi, kontrak sosial dan semangat kemerdekaan negara ini sendiri.

Jika benar Tony mahu rakyat memahami Perlembagaan Persekutuan, maka beliau sendiri perlu berhenti memanipulasi tafsiran Perlembagaan demi agenda politik sempit DAP. Jangan bercakap soal keluhuran Perlembagaan jika penghormatan terhadap asas pembentukan negara ini pun masih gagal difahami dan dihargai. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN