FENOMENA homoseksualiti dalam kalangan wanita atau lesbianisme kini bukan lagi polemik terpencil di Malaysia, sebaliknya ia semakin nyata mendominasi ruang awam impak ledakan media sosial dan globalisasi maklumat yang serba pantas.
Lihat saja sebagai contoh isu ini yang terbongkar selepas kes penderaan kanak-kanak di Johor sekitar 2023 merungkaikan hubungan terlarang antara ibu kandung mangsa dengan seorang ‘pengkid’ warga negara Singapura.
Perkara yang dahulunya dianggap tabu dan jarang dibicarakan secara terbuka kini muncul secara agresif dalam pelbagai bentuk; daripada normalisasi menerusi kandungan hiburan antarabangsa dan perbualan bebas di platform digital, sehinggalah kepada kempen aktivisme yang membingkai orientasi seksual sebagai sebahagian daripada hak peribadi mutlak.
Rentetan itu, sebagai sebuah negara yang meletakkan nilai keagamaan dan keutuhan institusi kekeluargaan sebagai pasak utama masyarakat, perkembangan mutasi sosial ini menuntut perhatian serta tindakan drastik daripada semua pihak.
Bagaimanapun, di sebalik polarisasi perdebatan moral dan perundangan yang sering menghiasi dada akhbar, terdapat satu dimensi kritikal yang acapkali terpinggir daripada neraca perbincangan, iaitu krisis kesihatan mental dan tekanan psikologi mendalam yang dihadapi oleh golongan wanita yang terperangkap dalam konflik identiti tersebut.
KRISIS KESIHATAN MENTAL YANG TERSEMBUNYI
Daripada perspektif umum, isu ini perlu difahami sebagai krisis kesihatan mental, bukan sekadar perdebatan moral. Satu analisis meta yang dijalankan oleh Wittgens dan rakan-rakan pada 2022 mendapati homoseksual (lesbian/gay) adalah dua kali berisiko mengalami kemurungan, gangguan kebimbangan, masalah penggunaan alkohol dan tiga kali berisiko dalam keinginan untuk membunuh diri berbanding heteroseksual.
Yang paling menarik perhatian, kajian tersebut mendapati kadar masalah mental ini tidak berkurangan walaupun setelah dua dekad perubahan undang-undang dan penerimaan sosial yang meluas di negara Barat. Ini menunjukkan pendekatan ‘penerimaan’ semata-mata bukanlah penyelesaian kepada penderitaan psikologi yang dialami oleh golongan ini. Sebaliknya, akar permasalahan perlu ditangani secara serius.
MEMAHAMI PUNCA DARIPADA AKAR
Kajian tempatan oleh Syed Jaapar (2023) yang melibatkan responden lesbian di Malaysia mengenal pasti beberapa punca psikososial penting. Antaranya, fenomena ketiadaan ibu bapa iaitu apabila ibu bapa kurang memberi perhatian emosi menyebabkan anak perempuan mencari kasih sayang daripada rakan sesama jenis.
Pengalaman didera, menyaksikan penderaan oleh lelaki dalam keluarga atau kegagalan dalam hubungan dengan lelaki turut menyumbang kepada hilangnya kepercayaan kepada lelaki.
Persekitaran sekolah satu jantina, pengaruh media sosial serta kempen aktivisme hak asasi juga memainkan peranan dalam pembentukan identiti tersebut.
Daripada perspektif klinikal, ini bererti orientasi seksual bukanlah sesuatu yang tetap atau ditakdirkan secara biologi semata-mata. Ia boleh berubah mengikut pengalaman, persekitaran
serta rawatan yang sewajarnya.

PERSPEKTIF ISLAM
Dalam konteks Islam, asas ciptaan manusia jelas digariskan dalam Surah al-Hujurat, ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan.”
Kisah Kaum Nabi Lut AS yang dirakamkan dalam Surah al-A’raaf dan asy-Syu’ara’ menegaskan perbuatan homoseksual sebagai pelampauan batas terhadap fitrah ciptaan Allah SWT.
Hadis riwayat al-Bukhari turut mencatatkan: “Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.”
Namun, penting difahami Islam tidak menghukum perasaan tetapi perbuatan. Wanita yang berdepan tarikan terhadap sesama jenis namun berusaha mengawal diri dan tidak mengamalkannya tetap berada dalam ruang rahmat Allah SWT.
Pendekatan Islam ialah kasih sayang yang berpaksikan kebenaran, bukan penolakan secara kasar dan bukan juga normalisasi.
PENDEKATAN PENGUKUHAN FITRAH
Kumpulan penyelidikan Identiti Gender Melalui Pengukuhan Fitrah (MyGIFT) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggabungkan kepakaran syariah, psikiatri, psikologi, perubatan keluarga dan kaunseling bagi menawarkan pendekatan holistik.
Modul ini menekankan tiga tonggak utama. Pertama, kaunseling profesional untuk menangani trauma dan masalah kesihatan mental yang mendasari. Kedua, sokongan keluarga yang kukuh terutamanya peranan ibu bapa dalam memberi kasih sayang dan perhatian emosi yang mencukupi. Ketiga, pengukuhan penghayatan agama sebagai benteng jiwa daripada hasutan nafsu dan tekanan persekitaran.
Bagi masyarakat Malaysia, isu ini menuntut kita beralih daripada sikap menghukum atau menafikan, kepada satu pendekatan yang bersifat ilmiah, penyayang dan berlandaskan wahyu.
Wanita yang berdepan dengan isu ini bukanlah musuh masyarakat. Mereka adalah anak-anak, saudara dan rakan kita yang memerlukan sokongan untuk kembali kepada fitrah.
Sebagai negara yang menjunjung Islam sebagai panduan kehidupan, sudah tiba masanya institusi keluarga, sekolah, hospital dan badan agama bekerjasama secara bersepadu. Bukan sahaja untuk membendung penularan isu ini tetapi yang lebih penting, untuk memulihkan kesejahteraan mental dan kerohanian generasi wanita Muslim kita. –UTUSAN
DR. Khadijah Hasanah Abang Abdullah ialah Pensyarah Perubatan & Pakar Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan ahli kumpulan penyelidikan Identiti Gender Melalui Pengukuhan Fitrah (MyGIFT).










