SHAH ALAM: Proses bedah siasat mayat wanita yang dijumpai disimen dalam kolah sebuah rumah di Kampung Pendamar Fasa Satu, Klang selesai pagi tadi.
Difahamkan, proses bedah siasat tersebut dijalankan bermula pagi tadi selama beberapa jam di Unit Forensik Hospital Shah Alam (HSA), bagaimanapun tidak dinyatakan waktu tepat prosedur itu dimulakan dan berakhir.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini di sana mendapati suasana di unit tersebut sunyi dan tiada mana-mana individu seperti ahli keluarga atau kenalan mangsa hadir.
Pada Isnin lalu pemilik rumah berkenaan dilaporkan membuat laporan polis berhubung penemuan mayat mangsa pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa dipercayai dibunuh lebih setahun lalu sebelum disimen di kolah rumah tersebut.
Menurutnya, dua individu yang menyewa rumah berkenaan dan hanya dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh diminta untuk tampil untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Mahkamah Majistret Klang pada semalam membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap seorang lelaki warga asing berumur 53 tahun bagi membantu siasatan kes yang dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










