SHAH ALAM: Populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diakui antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu Sabtu lalu.
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain itu partinya turut berdepan dengan kemerosotan pengundi dalam kalangan masyarakat Melayu pada pilihan raya tersebut.
Katanya, data tersebut adalah adalah seperti yang dibentangkan dalam bedah siasat PH daripada keputusan PRN Johor termasuk mengenal pasti faktor pengundi muda.
“Base vote (pengundi asas) yang agak besar dimiliki oleh PH daripada kalangan pengundi masyarakat Cina dan kita mengalami penurunan ketara dalam kalangan pengundi Melayu.
“Peratusan pengundi muda masih lagi boleh dipertingkatkan berdasarkan data cerapan pada setiap saluran yang kita kembangkan (cerakin). Malam ini saya bermesyuarat di peringkat PH supaya kita boleh menyusun strategi lebih kemas bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, BN juga ketika itu mempunyai kelebihan sebagai kerajaan negeri.
Sabtu lalu, BN dilapor memperoleh sokongan dua pertiga apabila memenangi keseluruhan 48 daripada 56 kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) pada PRN Johor bagi membentuk kerajaan negeri.
Kemenangan tersebut dilaporkan meningkat apabila lapan kerusi milik PH sebelum ini kembali kepada BN berbanding 40 kerusi pada PRN empat tahun lalu.
Jelas Naib Presiden PKR itu, laporan daripada keputusan PRN Johor juga akan dijadikan sebahagian daripada penyusunan strategi bagi menghadapi pilihan raya di Melaka dan Sarawak.
“Memang itu dilakukan, tetapi fokusnya adalah kepada pengundi asas dan pendekatan kita lebih tertumpu kepada ceramah umum dan sebagainya. Jadi, perubahan dalam pendekatan pula akan dilaksanakan pada PRN Negeri Sembilan.
“Sesuai dengan keadaan kita sebagai incumbent (kerajaan negeri) yang mentadbir di di sana. Tetapi, Datuk Seri Aminuddin Harun sudah pun melaksanakan beberapa langkah awal yang sudah pasti boleh digabungkan supaya gerak kerja lebih kemas dan teratur,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan DAP mengulangi pendirian mereka Aminuddin merupakan satu-satunya calon Menteri Besar dari PH bagi PRN Negeri Sembilan kali ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, Aminuddin merupakan ‘panglima perang’ PH yang akan mengetuai jentera gabungan itu sepanjang kempen PRN berdasarkan rekod mentadbir kerajaan negeri sejak 2018. – UTUSAN










