KUALA LUMPUR: Ibu bapa diingatkan memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak membenarkan menunggang motosikal tanpa brek.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak masing-masing dan tidak boleh berharap kepada polis semata-mata.
Kata beliau, sebanyak 82 motosikal ‘lajak’ tanpa brek disita dalam Op Motosikal/Samseng Jalanan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Ahad lalu.
“Minggu lepas kita laksanakan Op Samseng Jalanan, kita ada kesan remaja berlumba menanggalkan brek belakang motosikal seperti basikal lajak yang ditanggalkan brek.
“Dengan ketiadaan brek belakang di motosikal, risiko terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan maut sangat tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Terdahulu, operasi yang tamat pukul 5 pagi itu turut menyaksikan segelintir penunggang motosikal yang melawan arus bagi mengelak ditahan polis.
Sebanyak enam sekatan jalan raya dilakukan terutama di lokasi tumpuan iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Azlan Shah. – UTUSAN