Pembeli muda pilih kediaman strata meskipun mencabar

Pembeli muda pilih kediaman strata meskipun mencabar

KEDIAMAN bertingkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDIAMAN berstatus strata terus menjadi pilihan utama dalam kalangan pembeli muda, meskipun menyedari cabaran selepas pemilikan, selari dengan perubahan gaya hidup di kawasan bandar serta tahap kemampuan kewangan yang lebih fleksibel berbanding rumah bertanah.

Trend ini didorong oleh kenaikan harga hartanah serta keperluan golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri dalam kekangan kemampuan kewangan yang terhad.

Pada masa sama, kemudahan seperti keselamatan, fasiliti bersama dan lokasi strategik terus menjadi daya tarikan utama.

Pemilik kediaman bertingkat, Bakhtiar Abu Serar berkata, harga kediaman mampu milik di kawasan bandar, khususnya di sekitar ibu kota, masih berada pada paras tinggi, terutama bagi rumah teres.

Justeru, katanya, ramai pembeli cenderung memilih kediaman bertingkat tinggi sebagai alternatif yang lebih praktikal dan mampu milik.

“Peningkatan kos sara hidup yang berterusan memberi kesan langsung terhadap keupayaan rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Dalam keadaan ini, pilihan pembelian rumah turut berubah, khususnya dalam kalangan golongan muda dan mereka yang baru memulakan kehidupan berkeluarga.

“Rumah bertingkat tinggi dilihat sebagai antara pilihan utama berikutan harganya yang lebih rendah berbanding rumah teres atau kediaman bertanah.

“Namun, keputusan pembelian masih bergantung kepada tahap pendapatan individu, selain faktor lokasi yang strategik dan kemampuan kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, akses kepada pembiayaan perumahan turut menjadi antara cabaran utama.

“Institusi perbankan memainkan peranan penting dalam menentukan kelayakan peminjam melalui syarat dan terma yang ditetapkan.

“Dalam sesetengah keadaan, proses permohonan yang rumit serta kriteria kelayakan yang ketat menyukarkan sebahagian pembeli untuk merealisasikan hasrat memiliki rumah sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, pembeli rumah pertama, Mohd. Sazwan Faez Mahad berkata, kediaman bertingkat dilihat sebagai pilihan lebih realistik bagi golongan muda yang beranggapan menyewa sebagai satu pembaziran, khususnya untuk memiliki rumah pertama.

“Kediaman jenis bertanah pula ditawarkan pada harga yang jauh lebih tinggi, meskipun terdapat subsidi kerajaan dengan harga paling rendah di kawasan bandar sekitar RM320,000.

“Memang terdapat pilihan lebih murah, namun kebiasaannya terletak di kawasan pinggir bandar dan jauh daripada kemudahan asas,” katanya.

Beliau berkata, isu pengurusan kediaman strata juga boleh ditangani menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan setiap tahun.

“Melalui mesyuarat tersebut, pemilik boleh menyuarakan pandangan atau sebarang isu kepada pengerusi dan jawatankuasa pengurusan bagi mengelakkan ketidakadilan,” katanya.

Dalam pada itu, penjawat awam, Muhammad Izzuddin Rosli berkata, ramai pembeli muda tetap memilih kediaman bertingkat kerana lebih praktikal dengan gaya hidup semasa, walaupun terdapat isu berkaitan pengurusan kondominium atau apartmen yang kurang efisien.

“Ia termasuk isu penyelenggaraan yang lambat dan fasiliti yang rosak tidak dijaga.

“Selain itu, harga rumah bertanah semakin mahal, justeru kediaman strata lebih mampu milik, khususnya di kawasan bandar yang lebih hampir dengan tempat kerja dan kemudahan.

“Tambahan pula dengan kemudahan seperti kawalan keselamatan, gimnasium dan kolam renang yang disediakan, ia memudahkan gaya hidup harian.

“Bagi golongan muda, isu pengurusan itu memang wujud, namun masih dianggap boleh diatasi berbanding kelebihan dari segi harga, lokasi dan kemudahan yang ditawarkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kualiti pengurusan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kehidupan harian berjalan lancar, termasuk aspek keselamatan, kebersihan dan penggunaan kemudahan bersama.

“Apabila tinggal secara beramai-ramai, pengurusan yang tidak konsisten boleh menimbulkan masalah.

“Sebagai pembeli muda, tumpuan mungkin kepada harga, tetapi pengalaman sebenar banyak bergantung kepada bagaimana pengurusan dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN