IJM Land secara rasminya memulakan proses Penyerahan Milikan Kosong (VP) bagi projek ViO Banj’ran bermula Januari lalu, sekali gus melengkapkan visi pembangunan sebuah enklaf banglo eksklusif yang terletak di puncak tertinggi Seremban 2 Heights.
Projek pegangan bebas yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 5.2 hektar ini menawarkan kediaman sangat terhad iaitu hanya 40 unit rumah, menjadikannya antara alamat paling eksklusif dan berprestij dalam perbandaran matang tersebut.
Terletak pada ketinggian kira-kira 146 meter di atas paras laut, ViO Banj’ran bukan sahaja menawarkan udara yang lebih segar dan sejuk, malah memberikan pemandangan panoramik banjaran gunung serta seluruh perbandaran Seremban 2 yang luas.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, pencapaian fasa VP mengikut jadual yang ditetapkan mencerminkan disiplin dan kejelasan dalam perancangan projek tersebut bagi memberikan nilai jangka panjang kepada pemilik.
“Fokus utama kami adalah untuk membina alamat puncak bukit yang ditakrifkan melalui kualiti dan keluasan ruang yang luar biasa. Ia adalah satu tanggungjawab untuk memastikan setiap kediaman terus memberi kepuasan kepada pemiliknya melalui cara mereka menjalani kehidupan harian.
“ViO Banj’ran dicipta sebagai persekitaran tempat tinggal yang boleh dibanggakan oleh keluarga dan diwarisi buat generasi akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pembangunan ini menawarkan unit banglo dua dan tiga tingkat yang direka khusus untuk kehidupan pelbagai generasi dengan keluasan tanah antara 5,070 hingga 8,934 kaki persegi, manakala keluasan binaan mencecah sehingga 6,944 kaki persegi.
Seni bina kediaman ini menekankan elemen keterbukaan dengan ruang tamu berketinggian dua tingkat (double-volume), siling tinggi serta bukaan tingkap yang luas bagi memaksimumkan pencahayaan semula jadi dan pengudaraan.
Setiap unit turut dilengkapi dengan balkoni di setiap tingkat untuk menghubungkan penghuni dengan alam semula jadi, selain penyediaan ruang untuk pemasangan lif peribadi bagi meningkatkan aksesibiliti dan keselesaan penghuni warga emas.
Dari segi kelestarian, ViO Banj’ran telah dianugerahkan pensijilan GreenRE (Emas) peringkat provisinal dalam kategori kediaman.
Ia dilengkapi dengan sistem rumah pintar, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), sistem penuaian air hujan serta penggunaan lampu berkuasa solar di kawasan awam.
Aspek keselamatan turut menjadi keutamaan dengan kawalan akses menggunakan pengecaman wajah dan cap jari, sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam, pagar anti-panjat serta kawalan pengawal keselamatan profesional bagi memastikan privasi penghuni terjaga.
Meskipun terletak di kawasan pergunungan yang tenang, projek ini mempunyai ketersambungan yang cemerlang dengan akses mudah ke destinasi runcit, kemudahan kesihatan dan institusi pendidikan di sekitar Seremban 2, selain dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya utama ke Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagi kemudahan rekreasi, enklaf peribadi ini menyediakan kawasan dusun, padang berkelah, astaka luas serta pelantar tinjau menghadap arah timur yang membolehkan penghuni menikmati pemandangan matahari terbit setiap hari dalam suasana yang damai. – UTUSAN









