Bekas menteri antara mahu kembali UMNO - Utusan Malaysia

Bekas menteri antara mahu kembali UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa tokoh politik utama termasuk be­­kas menteri dan pemimpin yang telah menyertai parti lain selepas dipecat atau digantung daripada UMNO, menunjukkan minat untuk kembali menerusi inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

Selain bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sudah mengemukakan permohonan secara rasmi, perbincangan untuk mem­bawa beberapa tokoh lain sedang berlangsung.

Setakat ini, UMNO menerima lebih 100 permohonan dan ra­yuan daripada bekas pemimpin serta ahlinya untuk menyertai semula parti itu.

Nama besar lain yang telah memohon untuk kembali antaranya bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Sumber berkata, ia selaras de­ngan keterbukaan Presiden, Da­tuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dijangka menarik lebih ramai pimpinan untuk kembali menyertai UMNO.

Katanya, permohonan ahli baharu juga menunjukkan perkembangan positif sejak ia diumumkan Ahmad Zahid pada 6 Mac lalu.

“UMNO turut menerima ba­nyak permohonan daripada bekas ahli untuk kembali ke pangkuan parti, selain permohonan baharu bagi menjadi ahli UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pen­gerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, semua permohonan termasuk daripada ahli yang dikenakan tindakan di peringkat bahagian akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 17 April ini.

Beliau berkata, perbincangan itu akan dibuat berteraskan semangat Rumah Bangsa, namun keputusan permohonan tidak semestinya diumumkan pada mesyuarat berkenaan.

Selain itu, UMNO juga masih mengumpul permohonan dan tiada tempoh ditetapkan bagi bekas pemimpin atau ahli yang ingin menyertai semula.

Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dipecat susulan pelanggaran disiplin semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) manakala Hishammuddin; be­kas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; Mohd. Salim dan Maulizan digantung keah­lian selama enam tahun.

Keputusan pemecatan dan penggantungan tersebut diputuskan oleh MKT UMNO pada 27 Januari 2023.

Pada 15 Mac lalu, Khairy secara rasmi menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.

Surat itu diserahkan sendiri oleh Khairy kepada Ahmad Zahid. Ia kemudian disusuli oleh Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong de­ngan disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Rumah Bangsa dibuka kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya atau mana-mana individu secara tanpa syarat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN