Anwar tidak lupa janji reformasi

Anwar tidak lupa janji reformasi

ANWAR Ibrahim tidak mahu gopoh dalam menunaikan janji-janji reformasinya, sebalik akan mengambil kira kesediaan dan keselesaan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak pernah sama sekali melupakan janji-janji reformasi yang menjadi raison d’etre atau asas perjua­ngannya sejak puluhan tahun lalu.

Kata Perdana Menteri, semua janji reformasi itu boleh dipacu dengan pantas, namun jika dilaksanakan secara gopoh tanpa mengambil kira kesediaan dan kesedaran rakyat, kesannya adalah kemusnahan.

Beliau mengambil contoh soal Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang cuba dilakukan tanpa penerangan kepada rakyat dan tiada rundingan bersama Majlis Raja-Raja Melayu.

DESAKAN

“Saya mendengar desakan ramai pihak khususnya golongan elit liberal yang menggesa segala janji reformasi segera dilaksanakan. Saya tegaskan bahawa saya tidak sama sekali melupakan janji-janji ini.

“Kita harus belajar daripada malapetaka yang tercetus tatkala pimpinan sebelum ini membangkitkan soal Statut Rom dan ICERD tanpa penerangan kepada rakyat dan tidak dirunding dengan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui sebuah syarikat televisyen swasta, semalam.

Dalam wawancara itu, Anwar berkata, rombakan Kabinet perlu diadakan sekiranya prestasi jemaah menteri meleset atau jika terdapat keadaan yang menuntut ia dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh masa setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan masih terlalu awal untuk membuat penilaian yang adil dan menteri-menteri perlu diberikan peluang untuk memperbaiki serta mening­katkan prestasi.

DIRUNDING

Katanya, kerajaan pada hari ini terbentuk daripada gabungan parti-parti, maka setiap keputusan perlu dirunding, dengan penyertaan harus setimpal dan mengambil kira kekuatan parti masing-masing.

“Saya fikir tidak lama lagi… tetapi saya fikir setelah satu tahun, kita buat penilaian yang adil. Orang perintah 10 tahun, tiga tahun… setahun ini terlalu awal, jadi menteri-menteri harus diberi peluang meningkatkan prestasi termasuk Perdana Menteri.

“Kemudian kalau ada sedikit penyesuaian berdasarkan pengalaman kita setahun, kita akan lakukan termasuk menambah sekiranya perlu,” kata Anwar.

Perdana Menteri pada masa sama menasihatkan Jemaah Menteri untuk tidak berasa selesa dengan prestasi yang telah dicapai Kerajaan Perpaduan sepanjang setahun mentadbir negara.

Anwar berkata, kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada aspek tatakelola bagi memastikan pentadbiran yang bersih daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, aspek tatakelola tidak boleh diremehkan dan mana-mana negara yang mempunyai keupayaan tinggi sekali pun tidak mungkin mencapai tahap membanggakan sekiranya isu tata kelola tidak diselesaikan.

“Sebab itu semua pemimpin dipantau dan badan-badan se­perti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus beri laporan apakah ada gejala penyalahgunaan kuasa, kerja sakau-menyakau, apakah pendapatan, kekayaan perdana menteri dan menteri-menteri itu nampak menonjol tinggi.

“Ini kalau dapat dibersihkan maka kita boleh melaksanakan beberapa kerangka ekonomi se­perti Ekonomi Madani, transisi peralihan tenaga, transformasi digital, perindustrian dengan misi yang jelas, ini semua dapat dilakukan,’’ kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN