SEREMBAN: Seramai 5,125 orang asnaf Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mula menerima bantuan barangan keperluan asas secara tanpa tunai (cashless) sejak Oktober lalu.
Setiausaha MAINS, Zainal Said berkata, menerusi inisiatif bagi memperkasa agihan zakat tersebut, kesemua asnaf berkenaan boleh mengambil barangan yang diperlukan mereka di 42 buah kedai panel yang terdapat di negeri ini mengikut had bantuan yang ditetapkan setiap bulan.
Jelas beliau, asnaf-asnaf terbabit hanya perlu menggunakan kad pengenalan masing-masing ketika melakukan transaksi dan ia tidak terhad untuk barangan dapur sahaja.
“MAINS juga telah menukar jumlah amaun bantuan barangan dapur ini, dahulunya semua asnaf mendapat bantuan sebanyak RM100 namun kini asnaf yang mempunyai isi rumah melebihi tiga orang akan mendapat bantuan berjumlah RM200.
“Sebelum ini juga, asnaf-asnaf terlibat hanya mengambil barang-barang dapur seperti beras, tepung dan gula dengan nilai RM100 yang telah ditetapkan oleh MAINS pada setiap bulan, namun mulai Oktober lalu mereka boleh ambil apa sahaja barangan yang diperlukan mereka di kedai-kedai panel tersebut.
“Ia mungkin termasuk barang basah seperti ayam, ikan ataupun barangan lain seperti sabun, penyapu, mengikut keperluan masing-masing berdasarkan amaun yang layak mereka terima,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Zainal dalam pada itu berkata, kaedah tersebut dilihat dapat memberikan lebih kemudahan kepada tiga pihak iaitu asnaf, MAINS yang boleh memantau corak perbelanjaan asnaf dan kedai-kedai panel yang lebih mudah dalam membuat tuntutan pembayaran.
“MAINS boleh memantau dan kami juga mahu tahu apakah barangan yang selalu ambil, apakah keperluan sebenar mereka. Sebelum ini memang ada rungutan ada barangan yang diberikan sebenarnya mereka tidak perlukan, oleh itu berdasarkan isu-isu itu kami tambah sistem dengan menggunakan kaedah cashless ini.
“Kami juga akan mengkaji semula sistem yang kami guna pakai ini setakat tiga bulan pelaksanaannya, ia termasuk isu-isu berkaitan kad pengenalan daripada segi cip, kami akan tambah baik sistem ini termasuk melihat ke arah penggunaan e-dompet pula,” katanya. – UTUSAN










