JOHOR BAHRU: Pas akur dan menerima dengan hati terbuka keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, parti itu menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat dan pengundi di negeri ini yang telah menzahirkan pilihan mereka secara demokratik.
Sehubungan itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada BN yang diterajui oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan tersebut.
“Dengan keputusan ini, seruan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk memastikan kuasa pemerintahan negeri terus berada di bawah kepimpinan orang Melayu Islam telah berjaya direalisasikan.
“Keputusan pilihan raya ini juga menunjukkan bahawa majoriti rakyat dan pengundi negeri Johor telah menzahirkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai hala tuju parti, Mahfodz menegaskan Pas Johor bersama Perikatan Nasional (PN) akan terus beristiqamah dalam memperkukuhkan komitmen bagi meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa serta kebajikan rakyat.
Langkah tersebut, katanya, sebagai persediaan awal parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
“Pas Johor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan, ahli, petugas, jentera pilihan raya, serta pengundi PN-Pas.
“Penghargaan itu turut dipanjangkan kepada jentera tempatan, kawasan bantu dari seluruh negeri, negeri-negeri bantu dari seluruh Malaysia serta Pas Pusat yang telah memberikan komitmen tinggi daripada segi tenaga, masa dan kewangan,” ujarnya. – UTUSAN










