Khidmat berterusan di akar umbi berhasil - MCA

Khidmat berterusan di akar umbi berhasil – MCA

WEE Ka Siong (berdiri dua dari kanan) bersama kepemimpinan BN meraikan kemenangan parti itu malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Prestasi memberangsangkan MCA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 membuktikan bahawa khidmat berterusan di peringkat akar umbi mampu memenangi hati pengundi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ahmad Wee Ka Siong berkata, parti itu berjaya menggandakan jumlah wakil rakyat daripada empat kepada lapan pada PRN ini berbanding tahun 2022 lalu.

“Keputusan ini membuktikan jika kita terus berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas dan cekal, pengundi akan terus menyokong kita.

“Pencapaian MCA tidak terhad kepada kemenangan lebih banyak kerusi malah turut dicerminkan melalui peningkatan jumlah majoriti yang diperoleh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyandang.

“Kemenangan di kawasan Dewan Undangan Negeri yang sebelum ini menyaksikan MCA kalah tipis menunjukkan bahawa usaha dan kerja keras yang dilakukan selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini malam ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, MCA berjaya mempertahankan empat kerusi penyandang iaitu DUN Yong Peng, Paloh, Bekok dan Pekan Nanas manakala merampas kerusi DUN Tangkak, Jementah, Johor Jaya dan Layang-Layang.

Tambah Ka Siong, kejayaan ini memberikan MCA keyakinan baharu serta pengiktirafan terhadap kerja keras yang ditunjukkan oleh calon, jentera akar umbi dan kepimpinannya selama ini.

“Wakil rakyat MCA, sama ada yang baharu mahupun yang mengekalkan kerusi perlu bekerja keras untuk membalas kepercayaan pengundi dengan bekerja lebih keras di kawasan masing-masing.

“Kita mesti terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh tawaduk dan dedikasi. Kita tidak akan mengabaikan mana-mana kawasan atau mana-mana pengundi yang telah menyokong kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN