BN menang besar di Johor, PN perlu muhasabah

BN menang besar di Johor, PN perlu muhasabah

Kemenangan BN Johor
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, semalam menunjukkan penyokong asal yang sebelum ini beralih arah, kembali menyokong parti gabungan utama itu.

Situasi tersebut memberikan isyarat jelas kepada parti-parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan juga yang baharu ditubuhkan supaya muhasabah, membaiki kelemahan dan mengembalikan fokus kepada kepentingan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, berdasarkan keputusan PRN malam tadi, ia menunjukkan sokongan diberikan kepada parti yang mampu membawa kestabilan, kemakmuran dan masa depan lebih baik.

“Bagi saya, inilah pengajaran terbesar daripada keputusan di Johor. Saya juga percaya keputusan itu menjadi titik muhasabah kepada ramai penyokong BN yang suatu ketika dahulu memilih untuk membuat undi protes atau menjauhkan diri.

“Keputusan di Endau memberikan satu pengajaran yang menarik. Kemenangan Alwiyah Talib buat kali ketiga, walaupun di bawah bendera BN menunjukkan faktor calon dan kekuatan parti tetap memainkan peranan sangat penting. Sebelum ini beliau bersama PN.

“Itu membuktikan pengundi bukan sahaja menilai jenama parti, malah turut mengambil kira kredibiliti calon, kekuatan jentera serta isu-isu tempatan. Keputusan di Dun Bukit Kepong dan Dun Maharani juga memberikan mesej yang jelas kepada PN,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Malam tadi, BN dilapor menang bergaya apabila menambah kemenangan lapan lagi kerusi berbanding PRN pada 2022 termasuk merampas semula empat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh DAP melalui PH sebelum ini.

Dengan kadar keluar undi melebihi 1.8 juta orang itu membolehkan BN menang 48 berbanding 56 kerusi sekali gus menubuhkan kerajaan negeri tanpa gabungan daripada parti lain.

Dalam pada itu, Nurul Syazwani yang juga bekas Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan, keputusan itu juga boleh ditafsirkan sebagai petunjuk sebahagian pengundi bukan Melayu kembali memberikan sokongan kepada BN kerana faktor kestabilan politik, pengalaman mentadbir serta keyakinan terhadap pengurusan ekonomi negara.

“Keputusan itu juga wajar menjadi bahan muhasabah kepada semua parti politik, termasuk PN. Hakikatnya, BN dan PN berkongsi sebahagian besar tabung pengundi yang sama, khususnya pengundi Melayu.

“Oleh itu, sebarang ketidakstabilan dalaman, perbezaan pendirian yang berpanjangan atau kegagalan menampilkan hala tuju yang jelas boleh memberi kesan terhadap keyakinan pengundi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN