PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini.
Beliau menyifatkan mandat yang diberikan rakyat sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat.
Katanya, dengan berakhirnya proses pilihan raya, semua pihak perlu melangkah ke hadapan dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh khidmat serta amanah kepada rakyat selain bersama-sama membina Johor yang lebih makmur dan maju.
“Tahniah kepada Barisan Nasional atas mandat yang diberikan rakyat Johor. Semoga amanah ini dipikul dengan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Penghargaan setingginya kepada seluruh pengundi dan rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab termasuk kepada jentera yang bekerja keras dan berusaha seupayanya,” katanya dalam hantaran kenyataan malam ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua calon Pakatan Harapan (PH) sama ada yang menang atau tewas, untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan terus membawa suara mereka.
“Kerajaan Persekutuan juga kekal komited memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus diperkasa serta ditambah baik,”katanya.
Media melaporkan BN sah kembali menerajui Johor apabila meraih kemenangan majoriti mudah.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, setakat pukul 10.32 malam tadi, BN berjaya memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mencatat majoriti mudah.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi dua kerusi DUN setakat ini iaitu di Bentayan dan Mengkibol. – UTUSAN










