BATU PAHAT: Parti Bersama Malaysia (Bersama) akur dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan parti itu hilang deposit di kesemua kerusi ditandingi.
Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, calon-calon Bersama hanya mendapat secara purata tiga ke enam peratus undi sahaja dalam PRN Johor.
Beliau berkata, ia menyaksikan kesemua calon di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) hilang deposit kerana tidak mendapat undi minimum.
“Di pihak Bersama, kami akan memperhalusi keputusan pengundian untuk menambah baik pendekatan dalam memenangi hati pengundi di masa hadapan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada calon-calon Bersama dalam usia parti ini yang begitu muda,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam pada itu, Rafizi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada calon-calon Bersama
Beliau turut berterima kasih kepada calon-calon, ahli-ahli, sukarelawan dan penyokong Bersama yang setia membantu kempen PRN Johor.
“Satu majlis penghargaan ringkas dan sederhana akan diadakan di ibu pejabat baru Bersama dalam tempoh terdekat, setelah ia siap untuk digunakan dalam dua minggu,” katanya.
Beliau berkata, walaupun keputusan PRN Johor tidak berpihak kepada Bersama, pengalaman berkempen akan membantu membina parti itu.
“Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan mendoakan rakyat Malaysia terbuka untuk menerima Bersama satu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan PRN Johor, bekas Menteri Ekonomi itu berkata, analisis awal menunjukkan terdapat peralihan undi yang ketara kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, peralihan undi itu dari semua segmen pengundi mengikut umur dan kaum.
“Semua calon dari parti-parti lain, baik Pakatan Harapan (PH) , Perikatan Nasional (PN), Bersama atau Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) terkesan dengan peralihan undi ini,” katanya. – UTUSAN










