SETIAP orang memiliki ujian berbeza dengan orang lain. Jangan ditanya kenapa. Yang pasti Allah mendatangkan ujian mengikut kemampuan setiap hambaNya.
Ada yang diuji dengan kesusahan, kesenangan dan kesakitan. Minggu ini saya kongsikan kisah Umi (bukan nama sebenar) yang diuji dengan bapa saudara yang suka mengatur segala aspek kehidupannya secara berlebihan.
Disebabkan itu kehidupan Umi hampir musnah selepas lelaki yang dipilih bapa saudara sebagai suami curang di belakangnya.
Wanita berusia pertengahan 40 tahun itu berkata, hidupnya diatur bapa saudara yang hanya dikenali sebagai Rahman (bukan nama sebenar) itu sejak dia kecil lagi.
Bahkan meniti usia dewasa kehidupan Umi turut diatur termasuk soal memilih jurusan ketika melanjutkan pengajian, pekerjaan sesuai dan calon suami.
Menceritakan lebih lanjut mengenai bapa saudaranya itu Umi berkata, lelaki itu merupakan satu-satunya abang kandung ibu. Mereka dua beradik.
Ketika berusia lima tahun Umi kehilangan bapa selepas terlibat kemalangan jalan raya. Sejak itu ibu dan Umi dijaga bapa saudara.
Ibu tidak pernah berkahwin lagi selepas kematian bapa. Disebabkan sayang dan terhutang budi, ibu lebih banyak menurut sahaja kata-kata abang kandungnya itu. Ini termasuk mengatur jodoh Umi.
“Ketika itu saya sudah mempunyai teman lelaki, iaitu Azmi (bukan nama sebenar). Sebagai bukti dia serius mahu memperisterikan saya, keluarga Azmi pernah datang meminang, namun ditolak mentah-mentah oleh bapa saudara dengan alasan tidak sepadan,” cerita Umi.
Bercerita lanjut mengenai Zainal (bukan nama sebenar), Umi berkata, lelaki itu merupakan anak kepada kawan baik bapa saudara.
Apa yang membuatkan Umi terkilan, keputusan melangsungkan perkahwinan itu dibuat tanpa berbincang dengannya.
“Apabila saya cuba menolak, bapa saudara mula mengungkit-ungkit jasanya kepada kami sekeluarga.
“Ibu dan saya dikatakan tidak mengenang budi,” luahnya. Tambah Umi, dia tidak pernah menidakkan segala jasa lelaki itu, tetapi caranya mengatur hidup mereka, membuatkan Umi rimas.
“Saya menerima Zainal ketika itu bukan sebab cintakan lelaki itu, tetapi mahu jaga hati ibu.
“Demi kasih dan sayang kepada ibu, saya terpaksa menerima jodoh diatur bapa saudara.
“Beribu kata bencipun, saya terpaksa akur untuk menjadi isteri kepada lelaki yang 15 tahun lebih berusia daripada saya,” sambungnya.
Selepas berkahwin, bermulalah episod baru dalam hidup Umi. Dia dibawa Zainal ke Kuala Lumpur.
Di awal perkahwinan dia dilayan dengan baik oleh lelaki itu. Bagaimanapun selepas sebulan berumahtangga, lelaki itu mula berubah sikap selepas kehadiran anak bongsu kepada bapa saudara
yang juga adik sepupunya di rumah mereka.
Sally (bukan nama sebenar) meminta kebenaran menumpang di rumah mereka sementara mendapat pekerjaan. Bukan seminggu dua, bahkan hampir tiga bulan lamanya Sally menumpang di rumah mereka.
Makan tidur, makan tidur tanpa ada usaha mencari pekerjaan seperti dijanjikan. Sepanjang tempoh itu juga, Umi dapat merasakan layanan bekas suami terhadapnya mulai dingin.
Sehinggalah pada suatu hari Umi terhidu ada sesuatu yang tidak kena antara Sally dan Zainal.
Petanda kecurangan itu bermula ketika lelaki itu sering keluar rumah pada setiap hujung minggu.
Selang beberapa minit, Sally pula keluar rumah dengan alasan untuk bertemu kawan-kawan.
Bekas suami dan Sally juga beberapa kali kantoi dengan Umi apabila keluar makan bersama yang menampakkan kemesraan mencurigakan.
Tahap kesabaran Umi sampai ke kemuncak apabila suatu hari kedua-duanya ditangkap dalam bilik tidur di rumah mereka.
Pertengkaran berlaku. Bekas suami dengan jujur mengakui mereka sudah lama mempunyai hubungan cinta, namun tidak direstui.
Lebih mengejutkan, Sally juga turut membuat pengakuan mereka pernah beberapa kali terlanjur.
Kata Umi hanya Allah yang tahu perasaannya ketika itu.
Selepas mendengar pengakuan masing-masing, Umi memberi diri dan bekas suami masa.
“Saya berusaha mencari jalan penyelesaian tanpa melibatkan orang luar. Dan pada akhirnya,
kami bersetuju menamatkan sahaja ikatan tanpa cinta itu.
“Namun lain pula cerita sampai kepada ibu dan bapa saudara. Saya pula difitnah berlaku curang dengan lelaki lain sehingga memaksa bekas suami melafazkan cerai,” cerita Umi.
Disebabkan fitnah yang dilempar Sally terhadapnya, dia kehilangan satu-satu insan tercinta. Ibunya yang terkejut mendengar berita itu tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Sejak hari itu bapa saudara membuang Umi dan menuduhnya menjadi punca kematian ibu.
Walaupun peristiwa itu sudah lebih sedekad berlaku Umi tidak pernah berdendam dengan bapa saudara sekeluarga.
Umi kini bahagia dengan kehidupan baru bersama suami dan seorang cahaya mata berusia lima tahun.
Ditanya mengenai perkembangan bekas suami dan Sally, kata Umi dia dapat tahu perkahwinan dibina hanya bertahan tiga bulan sahaja.
Sally diceraikan selepas kantoi curang di belakang Zainal. Bapa saudaranya pula sejak dua tahun lalu terlantar selepas serangan strok kali kedua.
Sejujurnya, kata Umi jauh di sudut hati dia mahu pulang ke kampung bertemu satu-satunya saudara kandung ibu yang masih ada.
Namun dia masih ragu-ragu dan bimbang lelaki itu belum benar-benar bersedia memaaf dan menerima kehadirannya.
Sesungguhnya sifat pemaaf itu sangat-sangat digalakkan dalam agama Islam. Sebagaimana Rasullulah SAW pernah bersabda bahawa sifat pemaaf adalah iman yang paling utama seperti mana dijelaskan bermaksud:
Iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan. (Hadis Riwayat Bukhari) –UTUSAN









