Bantulah rakyat miliki rumah sendiri

Bantulah rakyat miliki rumah sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI rumah sendiri merupakan impian setiap orang. Ia tempat untuk berehat dan melepaskan penat selepas seha­rian bekerja. Rumah juga menjadi ruang untuk membina kehidupan, membesarkan anak-anak serta meluangkan masa bersama keluarga.

Bagi golongan muda, memiliki kediaman sendiri se­ring menjadi antara matlamat utama, terutama bagi mereka yang baru melangkah ke alam perkahwinan. Bagaimanapun, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan harga rumah yang kebanyakannya di luar kemampuan impian itu bukan sesuatu yang mudah direalisasikan. Keadaan ini menyebabkan sebahagian golongan muda terpaksa menangguhkan hasrat membeli rumah.

Menyewa sememangnya menjadi pilihan kedua namun, bayaran sewa bulanan juga merupakan komitmen berterusan yang perlu ditanggung. Keadaan itu belum mengambil kira kemungkinan kenaikan kadar sewa atau risiko diminta berpindah oleh pemilik rumah. Ketidakpastian itu boleh menyukarkan perancangan kehidupan keluarga.

Oleh sebab itu, penyediaan rumah mampu milik perlu menjadi keutamaan kerajaan. Usaha ini bukan hanya agenda pembangunan fizikal sebaliknya memenuhi keperluan asas yang mempunyai kaitan rapat dengan kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosial negara.

Perkara itu turut diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2027 lalu termasuk peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi pelaksanaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Program Residensi Rakyat (PRR), selain penekanan terhadap usaha membantu rakyat memiliki rumah pertama.

Bagaimanapun, kejayaan penyediaan rumah mampu milik tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah unit yang dibina semata-mata. Sebaliknya, harga yang ditawarkan mesti menepati kemampuan kumpulan sasaran, termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta pasangan muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga.

Pemilihan lokasi juga perlu diberikan perhatian. Rumah mampu milik tidak sepatutnya dibina terlalu jauh daripada kemudahan awam termasuk sekolah dan kawasan pekerjaan. Jika aspek ini diabaikan, pemilik rumah akhirnya terpaksa menanggung kos lebih tinggi.

Dalam usaha menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan juga perlu memastikan pelbagai skim pembiayaan dan bantuan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat yang la­yak. Cadangan memberikan pengecualian penuh duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman untuk pembelian rumah pertama merupakan antara langkah yang dapat mengurangkan kos awal pembelian.

Namun, segala usaha perlu disusuli pemantauan berterusan terhadap pelaksanaan projek perumahan. Masalah rumah terbengkalai, kelewatan penyerahan kunci dan mutu pembinaan yang tidak memuaskan tidak boleh dipandang ringan. Setiap kelemahan ini bukan sahaja menjejaskan kepenti­ngan pembeli, malah boleh membebankan mereka yang telah membuat komitmen kewangan jangka panjang.

Dasar perumahan negara tidak boleh dianggap berjaya hanya kerana sasaran pembinaan berjaya dicapai. Ukuran yang lebih penting adalah sejauh mana dasar itu memboleh­kan rakyat memiliki kediaman sendiri mengikut kemam­puan tanpa terpaksa menanggung beban hutang yang berlebihan.

 

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN