Polis minta pengunjung GP Malaysia 2023 patuh arahan

Polis minta pengunjung GP Malaysia 2023 patuh arahan

IMRAN ABD RAHMAN (tengah)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pengunjung Petronas Grand Prix (GP) Malaysia 2023 diminta supaya mematuhi segala peraturan ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur perlumbaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman berkata, edisi perlumbaan itu bermula esok hingga 12 November ini bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Beliau berkata, pengunjung dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri, anak dan harta benda sepanjang berada di SIC bagi mengelak sebarang perkara tidak dingini berlaku.

“Sila laporkan dengan kadar segera kepada pihak polis supaya tindakan awal dapat diambil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pengunjung juga digalakkan untuk hadir lebih awal serta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas selain mematuhi arahan papan tanda di sepanjang jalan.

Imran berkata, setiap kenderaan perlu diparkir di kawasan yang ditetapkan dan dalam keadaan berkunci, malah pengunjung dinasihat supaya tidak
meninggalkan barang-barang berharga di dalam kenderaan bagi mengelakkan kecurian.

Menurutnya, kenderaan yang diletak di bahu jalan akan ditarik dan dikompaun.

Jelasnya lagi, pengunjung juga tidak dibenarkan membawa apa-apa senjata atau barang berbahaya ke dalam kawasan SIC dan tindakan tegas akan diambil atas kesalahan berkenaan.

“Pengunjung turut diminta untuk mengelakkan daripada melakukan apa-apa tindakan provokatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan perjalanan acara terbabit.

“Diingatkan juga, kawasan SIC merupakan kawasan larangan merokok. Patuhi larangan tersebut dan merokok di kawasan yang dibenarkan sahaja. Tindakan kompaun akan diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN